Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Razak Baginda berucap di forum demokrasi bulan depan

Penganalisis politik Abdul Razak Baginda dijangka berucap di sebuah forum terbuka di Kuala Lumpur bulan depan.

Menurut maklumat dikongsi Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) Wan Saiful Wan Jan di akaun Facebooknya, forum dianjurkan Pusat Hal Ehwal Global Malaysia (Icon) itu akan diadakan pada 3 November akan datang di Bangunan Getah Asli di Jalan Ampang.

Bertajuk Revisiting Democracy: Global and Domestic Trends majlis itu dijadual bermula pada jam 7 malam dan kedua-dua mereka - Abdul Razak dan Wan Saiful - bakal berucap di majlis itu.

Ditanya mengenainya Wan Saiful memberitahu Malaysiakini beliau akan bercakap mengenai trend demokrasi Malaysia dan bagaimana ia mengalami perubahan mengikut masa.

"Saya akan bercakap bagaimana amalam demokratik mengalami perubahan, manakala beliau (Abdul Razak) lebih menyentuh mengenai perspektif global.

"Beliau akan memberikan gambaran lebih meluas.

"Saya cadangkan anda menghubungi Abdul Razak sendiri untuk mendapatkan butiran lanjut," katanya.

Sementara itu Icon dalam reaksinya mengesahkan Abdul Razak akan berucap di forum berkenaan dan menyentuh mengenai demokrasi mengikut konteks semasa global.

"Sebagai sebuah forum awam, soalan untuk isu berkenaan memang dialu-alukan," kata kenyataan itu.

Abdul Razak adalah sekutu rapat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan pernah didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu.

Beliau bagaimanapun dibebaskan tanpa dipanggil untuk membela diri pada 2008.

Selepas itu Abdul Razak banyak menghabiskan masa di luar negara dan hanya sesekali dilihat membuat kemunculan di tempat awam.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS