Lim akan mohon ketepikan saman pemula AG ke atasnya
Peguam Gobind Singh Deo hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa anak guamnya Lim Guan Eng akan memohon untuk mengetepikan permohonan saman pemula secara ex-parte (sebelah pihak) yang difailkan oleh Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap ketua menteri Pulau Pinang itu atas dakwaan menghina mahkamah.
Beliau juga memberitahu mahkamah bahawa Lim mengarahkan sebagai alternatif, pihaknya akan mengemukakan permohonan untuk membatalkan saman Mohamed Apandi itu.
Gobind Singh memberitahu demikian selepas menghadiri pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Hanipah Farikullah di kamar hakim.
Pada 21 September lalu, Apandi mendapat kebenaran Hakim Hanipah untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Lim.
"Kami belum memfailkan permohonan tetapi kami akan melakukannya tidak lama lagi."
Menurut beliau, pihaknya telah memohon supaya mahkamah memberikan masa untuk menyediakan transkrip tiga keping cakera padat digital (DVD) iaitu dua dikemukakan oleh Peguam Negara berhubung sidang akhbar tersebut dan sekeping DVD yang diberikan olehLim.
Hakim Hanipah menetapkan 25 November ini bagi pengurusan kes tersebut.
Peguam Negara diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan.
Pada 18 Ogos lalu, Peguam Negara memohon kebenaran bagi memulakan permohonan komital terhadap Lim atas dakwaan menghina mahkamah.
Lim didakwa telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan di media cetak dan media sosial berhubung pendakwaan terhadapnya atas pertuduhan rasuah di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 30 Jun lalu.

