Penganjur program jati diri melibatkan pelajar selepas ini harus meminta kebenaran sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) sebelum menjalankan sesebuah acara.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, walaupun program jati diri masih dibenarkan, perkara yang menimbulkan trauma harus dielakkan sama sekali.

"Program yang melibatkan jati diri pelajar boleh diteruskan tetapi tidak melibatkan perkara yang boleh menimbulkan trauma kepada pelajar.

"Kita tak benarkan, sebelum nak pergi mana-mana program pihak penganjur minta pengesahan dulu dengan pihak sekolah.

"Dan sebagai contoh jika pihak penganjur mohon kepada PPD biarlah pihak penganjur yang buat sedikit ulasan kepada PPD," kata Mahdzir dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Mahdzir berkata demikian selepas mempengerusikan majlis himpunan bulanan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Semalam, Timbalan Menteri Pendidikan Datuk P Kamalanathan berkata kementeriannya mahu tindakan diambil terhadap pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bertanggungjawab dalam insiden melibatkan pelajar dipaksa mengharungi kolam diletakkan ular.

Terdahulu, satu video hampir tiga minit tersebar di media sosial menunjukkan sekumpulan murid perempuan dipaksa meredah kolam yang dimasukkan ular.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata insiden tersebut tidak seharusnya berlaku.

"Insiden di Kuala Kangsar ini satu perkara yang tidak sepatutnya berlakulah apabila sekolah melalui Pejabat Pendidikan Daerah membenarkan pelajar membuat aktiviti jati diri di luar bilik darjah," kata Mahdzir.

 

Paksa pelajar harungi kolam dengan ular - k'jaan mahu tindakan