Terdapat salah faham terhadap cadangan supaya pembuli di sekolah digantung setahun.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata cadangan itu tidak seperti difahami orang awam dan bukan bermakna tempohnya 12 bulan.

Sebaliknya, Mahdzir berkata ia melibatkan tempoh dalam tahun semasa.

"Setahun itu maksud dia bukanlah dari Jun 2016 hingga Jun 2017.

“Tetapi jika dia dikenakan hukuman pada tahun itu saja, iaitu tahun semasa atau tahun kejadian dan tahun depan dia boleh ke sekolah semula.

"Orang awam tak faham dia ingat setahun tapi tidak setahun itu hanya dalam tahun semasa," kata Mahdzir.

Beliau juga menjelaskan tempoh hukuman juga tidak sama untuk setiap pelajar yang bersalah.

"Kita pula tengok dalam kumpulan itu (contohnya) ada ketuanya dan ada lima pengikutnya.

“Tak perlulah (semua) habiskan setahun.

“Mungkin seorang digantung dua bulan tak boleh pergi sekolah dan hanya lapor kehadiran sahaja serta adalah mungkin kita panggil keluarga datang sekolah," kata Mahdzir.

Tambah Mahdzir dalam tempoh penggantungan itu juga ada beberapa perkara yang perlu dijalani pelajar.

“Sebagai contoh dia kena pergi (sekolah untuk pesalah juvana) Sekolah Henry Gurney untuk motivasi, pergilah.

“Macam itulah, atau pun dia kena pergi vokasional belajar kemahiran ke," kata Mahdzir.