'Rakyat Prihatin' tawar RM10k bagi maklumat foto ‘bunuh’ BERSIH
Sekumpulan anggota masyarakat yang menggelar diri mereka sebagai 'rakyat prihatin' menawarkan wang tunai RM10,000 kepada mana-mana individu yang dapat memberi maklumat tentang pihak yang menyunting gambar pemimpin BERSIH dibunuh ala IS.
Menurut ahli parlimen Segambut, Lim Lip Eng, yang bertindak sebagai jurucakap kumpulan berkenana, tawaran wang tunai itu dibuat kerana mereka prihatin dan simpati dengan ugutan yang diterima oleh Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah, bekas pengerusinya Datuk S Ambiga serta pegawai urus setia BERSIH Mandeep Singh.
"Sekumpulan rakyat prihatin yang bersimpati dengan gambar yang diterima oleh pihak BERSIH 5, menawarkan wang tunai RM10,000 kepada mana-mana individu termasuk pihak polis yang boleh beri bukti siapa yang menghantar gambar itu," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Semalam, Maria, Ambiga dan Mandeep menerima ugutan bunuh daripada individu yang tak dikenali dan telah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
Maria merujuk kepada gambar suntingan yang memaparkan beliau seperti dalam keadaan berlutut sambil pisau diajukan padanya.
Gambar manipulasi itu kelihatan seperti aksi kumpulan bersenjata IS.
Selain Maria, gambar sama turut disunting dengan meletakkan gambar wajah Ambiga dan Mandeep.
Sehubungan itu, Lim berkata, sekiranya mana-mana individu mempunyai maklumat tentang gambar yang disunting berkenaan boleh memaklumkan terus kepadanya atau DAP.
Pemimpin kempen anti-BERSIH Datuk Seri Jamal Yunos pada 28 September lalu mendakwa perhimpunan BERSIH 5 yang dijadualkan pada 19 November ini diresapi elemen kumpulan pengganas IS.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi bagaimanapun berkata, beliau tiada maklumat tentang kenyataan pemimpin ‘baju merah’ itu.

