Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Susulan penahanan Datuk Seri Jamal Md Yunos oleh polis pagi tadi, anggota kumpulan baju merah berharap tindakan sama turut diambil ke atas dua orang kuat BERSIH, Maria Chin Abdullah dan Datuk S Ambiga.

Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata polis perlu menahan pemimpin BERSIH yang didakwanya melakukan provokasi serta menggerakkan konvoi tanpa permit.

"Kita mintak polis berlaku adil, bukan saja menangkap Jamal, kita juga mendesak kerajaan menangkap Maria Chin dan Ambiga," katanya di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu Jamal yang juga ketua Umno Sungai Besar ditahan pihak berkuasa setibanya dia di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang. Jamal dilaporkan berada di luar negara sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sebelum ini mengarahkan Jamal disiasat berhubung status Facebook yang mengaitkan perhimpunan BERSIH 5 dengan insiden 13 Mei serta "parang terbang".

Jamal bagaimanapun mendakwa status itu dipalsukan bagi mencemar nama baiknya. Dia juga menyalahkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng sebagai dalang di sebalik status dimuat naik itu.

Jamal dan Armand Azha adalah antara tokoh utama memimpin kumpulan baju merah.

Armand Azha berkata walaupun Ambiga merupakan seorang peguam bekas presiden Majlis Peguam Malaysia itu tetap terbabit dalam konvoi BERSIH.

Beliau juga menegaskan penahanan Jamal membuktikan kumpulan baju merah "berani" berdepan dengan sebarang tindakan undang-undang.

Walaupun berpendapat cara penahanan Jamal di KLIA tadi "tidak patut" Armand Azha berkata mereka tetap memberikan kerjasama kepada polis.

"Apa jua tindakan undang-undang kami akur dan hormati. Kami tak pernah lari daripada tanggungjawab untuk mempertahankan perlembagaan.

"Tetapi kami minta polis adil. Kalau tangkap Jamal, kami mahu polis tangkap Maria Chin dan Ambiga kerana mereka tidak mengikut undang-undang yang termaktub dalam Akta Perhimpuman Aman," katanya.

BERSIH 5 dijadual diadakan di Kuala Lumpur pada 19 November ini.

MCA bagaimanapun mahu pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak terhadap mereka yang mengugut untuk membunuh Maria, Amibiga dan ahli sekretariat BERSIH, Mandeep Singh.

Naib presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun, juga mahu polis menyediakan perlindungan kepada Maria dan anak-anaknya di kediaman mereka, kerana pihak yang membuat ugutan bunuh itu turut menghantar salinan kad pengenalan anak-anaknya.

Ketiga-tiga pemimpin BERSIH itu menerima ugutan dalam bentuk foto yang disunting - memaparkan mereka melutut bersebelahan lelaki bertopeng yang memegang pisau ke leher mereka.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS