AmBank Group menjangka perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus sederhana (M40) dan 40 peratus terendah (B40) akan meraih manfaat daripada Bajet 2017.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Sulaiman Mohd Tahir berkata PKS membentuk teras aktiviti ekonomi di negara ini.

"Kami berharap insentif berhemat disediakan untuk segmen perniagaan ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kategori M40 dan B40, Sulaiman menjangka insentif yang disasarkan, terutamanya untuk kumpulan isi rumah tersebut bagi menangani kenaikan kos sara hidup akan diperkenalkan.

Kategori M40 terdiri daripada kumpulan berpendapatan antara RM3,860 dan RM8,319 sebulan. Kategori B40 merupakan kumpulan dengan pendapatan bulanan sehingga RM3,855.

Bagaimanapun, Sulaiman berkata insentif tersebut mungkin perlu pada kitaran jangka pendek, berikutan penting untuk mempelajari daripada pelaksanaan insentif lalu untuk menentukan keberkesanan dan mengurangkan pembaziran.

"Sama ada dasar fiskal negara atau dalam perniagaan, mengoptimumkan kos dan penggunaan modal yang berkesan, merupakan langkah yang perlu diambil dalam menghadapi keadaan mencabar ini," katanya.

Beliau percaya Bajet 2017 akan berteraskan kepada rakyat, dan 2017 dijangka untuk melaksanakan langkah berhemat yang lebih kukuh.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan akan membentangkan Bajet 2017 di Parlimen pada 21 Okt ini.

- Bernama