Rakyat M'sia suka data, purata guna 3.21GB sebulan
Maxis Bhd mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM680 juta untuk suku ketiga yang berakhir pada 30 Sept 2016, naik 20 peratus berbanding RM566 juta yang direkodkan dalam suku yang sama tahun lepas.
Ia merekodkan pendapatan sebanyak RM2.15 bilion daripada RM2.16 bilion.
"Operasi dan kewangan kami telah meningkat kukuh dalam suku ini," kata Ketua Pegawai Eksekutif Morten Lundal dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Maxis dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, melaporkan bahawa perkhidmatan prabayar telah naik sebanyak 6.6 peratus, dari suku ke suku, kepada RM1.02 bilion.
"Prestasi prabayar yang positif dalam suku ini telah disokong oleh pertumbuhan dalam internet mudah alih," katanya.
Pakej HOTLINK FAST telah melepasi 1 juta pengguna dan terus menarik Hasil Purata Setiap Pelanggan (ARPU) yang tinggi.
"Ini menyebabkan ARPU prabayar adalah lebih tinggi pada RM41 sebulan (Suku Kedua 2016 : RM38) dan penembusan internet mudah alih menokok kepada 55 peratus daripada 52 peratus," katanya.
Langganan keseluruhan mudah alih Maxis dalam suku ketiga berjumlah sebanyak 10.903 juta, di mana pascabayar menyumbang sebanyak 2.678 juta, prabayar 8.9 juta dan internet jalur lebar berjumlah 218,000.
"Amat menakjubkan untuk melihat bagaimana penggunaan data meningkat. Jelas sekali, rakyat Malaysia suka data. Daripada purata sebanyak 2.5 GB data yang digunakan setiap bulan pada suku sebelum ini, ia kemudian melonjak kepada 3.1GB sebulan secara purata, dipacu oleh penggunaan video," kata Lundal.
Katanya, program naik taraf automatik untuk pelanggan-pelanggan pelan MaxisONE (MOP) dan DataPool boleh kongsi, yang diperkenalkan pada suku lepas telah memberi impak yang baik pada Maxis.
"Dalam 12 bulan lepas sahaja, kami menambah lebih daripada 800,000 pelanggan MOP, dan kini menghampiri 1.5 juta," katanya.
Kumpulan tersebut terus mencatatkan momentum penggunaan 4G LTE yang kukuh pada suku ini dengan 4.1 juta pengguna berbanding 3.5 juta pengguna pada suku kedua, yang menggunakan secara purata 4.4GB sebulan daripada 3.7GB dalam suku sebelumnya.
"Ini mewakili kenaikan, masing-masing sebanyak 1.9 juta dan 2.1 GB sebulan sejak setahun lepas.
"Liputan 4G LTE telah mencecah 88 peratus pada asas rangkaian setanding dan kumpulan itu terus menerajui pasaran dari segi perlindungan, kualiti dan pengalaman digital terbaik," kata kenyataan itu.
"Bagi sembilan bulan terkumpul, keuntungan sebelum cukai bertambah kepada RM2.06 bilion dari RM1.78 bilion, manakala pendapatan berjumlah RM6.39 bilion berbanding RM6.42 bilion sebelumnya.
Pada rehat tengah hari, harga saham Maxis turun dua sen pada RM5.99.
- Bernama

