Amar: Pesan Nik Aziz sertai BERSIH bukan pendirian tetap
Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) tidak wajar menggunakan nama allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagi menarik sokongan terhadap BERSIH5.
Mohd Amar percaya anggota PAS tidak terkeliru dengan kenyataan Datuk Husam Musa itu kerana PAS pada masa ini jelas menolak menyertai perhimpunan pada 19 November ini, lapor Utusan Malaysia.
“Apa yang dikeluarkan Tok Guru Nik Abdul Aziz (wajib sertai perhimpunan BERSIH) pada masa terdahulu adalah berdasarkan kepada keputusan parti dan suasana politik ketika itu.
“Pendirian itu (menyertai BERSIH) bukan pendirian yang tetap, ia mengikut pada keadaan dan tidak perlu berbangkit apabila PAS sudah membuat keputusan pada masa ini tidak menyertai BERSIH5.
“Jadi saya rasa tidak kena menggunakan pandangan Tok Guru pada masa itu untuk digunakan pakai sekarang,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Mohd Amar berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan Husam, bekas naib presiden PAS yang kini penasihat AMANAH Kelantan, yang berkata Nik Aziz berkata penyertaan dalam himpunan BERSIH adalah wajib.

