Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar berkata program perumahan baru di Kuala Kangsar akan diutamakan bagi membalas jasa rakyat di kawasan itu.
Noh berkata demikian sebagai menjawab soalan Datin Mastura Mohd Yazid (BN-Kuala Kangsar) yang memohon supaya kementerian berkenaan memberi keutamaan membina perumahan 'rent to own' di luar Wilayah Persekutuan.
"Permohonan Yang Berhormat saya alu-alukan.
“Program perumahan yang baru kita beri keutamaan untuk membalas jasa orang Kuala Kangsar yang telah memilih Yang Berhormat sebagai Yang Berhormat baru.
“Terima kasih," kata Noh.
Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini.
Mastura, 55, mengekalkan kerusi Kuala Kangsar yang disandang suaminya, allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dengan majoriti lebih besar dalam pilihan raya kecil 18 Jun lepas.
Mastura mengangkat sumpah sebagai anggota parlimen itu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-13 yang bermula Isnin lalu bersama wakil Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi.
Kemenangan BN di kedua-dua kawasan dikaitkan penganalisis dengan kegagalan pembangkang meletakkan satu calon sahaja.
