M'sia terima keputusan ATSB lanjut tempoh cari MH370
Malaysia menerima keputusan Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang memutuskan untuk melanjutkan tempoh pencarian pesawat malang itu selama dua bulan lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Misi Pencarian MH370 yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata lanjutan tempoh pencarian itu terpaksa dibuat memandangkan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan di lokasi pencarian sekarang.
"Di kawasan pencarian tersebut, musim dan cuaca tidak mengizinkan sehingga misi tidak dapat dijalankan dengan sempurna, jadi kita bersetuju dengan dapatan dibuat penyiasat di sana iaitu dua bulan lagi untuk teruskan pencarian MH370," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum Isu Semasa: Ancaman Militian Daesh di Dewan Majlis Perbandaran Sungai Petani hari ini.
Semalam, laporan media antarabangsa menyebut ATSB memutuskan melanjutkan tempoh pencarian MH370 selama dua bulan ekoran cuaca buruk di Lautan Hindi.
Penerbangan MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang daripada imbasan radar sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam perjalanan ke Beijing pada 8 Mac 2014.
Pesawat itu masih lagi belum ditemui walaupun operasi mencari secara besar-besaran dijalankan di selatan Lautan Hindi, lokasi di mana penerbangan pesawat itu dipercayai "berakhir" selepas beralih daripada laluan asalnya.
Jailani berkata, walaupun tempoh pencarian sudah hampir memasuki tiga tahun, namun kerajaan amat komited dalam meneruskan misi pencarian dan meminta waris mangsa MH370 terus memberikan kepercayaan kepada pasukan penyiasat.
"Mereka harus beri kepercayaan bahawa kita akan teruskan misi pencarian seperti mana dinyatakan jawatankuasa penyiasat dulu," katanya dan menambah, Malaysia sentiasa berhubung rapat dengan Australia dan China untuk tujuan itu.
- Bernama

