Seorang pemilik kedai perabot di Kangar cemas selepas menyedari terdapat sebuah bekas seperti pasu atau botol dibaluti kain kuning yang disangkanya sebutir bom.
Khoh Kim Long, 63, berkata dia menyedari kewujudan objek itu yang diletakkan di bawah sebuah lori di hadapan kedainya pada kira-kira jam 8.40 pagi selepas dimaklumkan seorang rakan.
"Saya tidak menolak kemungkinan ia sebutir bom kerana objek itu sangat pelik. Saya juga terfikir mungkin ada bahaya lain sperti ular berbisa diletakkan di dalam bekas berkenaan.
"Kemudian saya mengambil gambar objek itu menggunakan telefon dan terus ke balai polis untuk membuat laporan," katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian di Kangar hari ini.
Ketua Polis Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Supt Wari a/l Kiew berkata pemeriksaan oleh sepasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Perlis mendapati ia hanya sebuah bekas yang dibalut dengan kain kuning.
Berdasarkan siasatan dan pemerhatian polis kejadian tersebut dikesan tidak mempunyai sebarang unsur ugutan atau jenayah, katanya ketika dihubungi Bernama.
- Bernama
