Kelantan menerima cadangan untuk mewartakan 973 hektar tanah di Pos Gob untuk dijadikan zon rizab orang asli dan merancang menjadikan kawasan Gunung Chamah di Gua Musang sebagai kawasan rayau mereka.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Abdullah memberitahu media kerajaan turut meluluskan tanah seluas 3.9 juta hektar tanah menjadi kawasan rizab orang asli di Gua Musang dan Jeli.

Selain itu Mohd Amar juga menyatakan 1.6 juta hektar sudah diwartakan manakala 2.2 juta lagi masih dalam proses untuk diluluskan.

Beliau menyatakan keputusan kerajaan negeri itu selepas menghadiri mesyuarat exco di Kota Darulnaim di Kota Bharu semalam.

Isu tanah rezab orang asli dan pembalakan di Kelantan menjadi perhatian ramai baru-baru ini apabila mereka mengadakan sekatan di laluan ke tempat penebangan pokok-pokok di Gua Musang.

Turut mencetuskan kebimbangan ialah kesan aktivti pembalakan yang didakwa menjejas alam sekitar.

Memetik kenyataan Mohd Amar Harakahdaily melaporkan kawasan rayau untuk orang asli itu dianggarkan seluas kira-kira 20,000 hektar yang boleh menjadi tempat mereka berburu atau melakukan aktiviti bersesuaian.

Katanya projek itu dicadangkan jabatan perhutanan sewaktu pentadbiran allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lagi.

Sehubungan itu, Mohd Amar turut menafikan dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kerajaan negeri tidak menjaga kebajikan orang asli di Kelantan.

"Ia hanya tuduhan tidak sihat demi kepentingan tertentu di samping berhasrat memburukkan imej kerajaan negeri," katanya.