Peniaga cendol dakwa ditipu syarikat pinjaman tak wujud
Seorang peniaga cendol yang mempunyai masalah kewangan mendakwa diperdaya wakil syarikat pinjaman yang tidak wujud sehingga mengalami kerugian lebih RM1,000.
Mohamad Iqbal Mydin, 50, berkata dia memohon pinjaman dari syarikat pinjaman itu disebabkan kegagalan mendapatkan pinjaman bank akibat namanya telah disenarai hitam oleh Bank Negara sejak 20 tahun lalu.
Katanya pada 15 September lalu dia menerima risalah syarikat kewangan yang beralamat di Skudai, Johor Bahru dan apabila menghubunginya wakil syarikat itu yang memperkenalkan diri sebagai "Lim" berkata tiada masalah untuk mendapat pinjaman RM20,000 walaupun namanya telah disenarai hitam.
"Bagaimanapun, wakil itu meminta saya membayar RM800 sebagai wang pemprosesan serta RM510 untuk ansuran bulanan sebagai syarat kelulusan pinjaman itu," katanya pada sidang media di Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional (BN) Perak, di Ipoh hari ini.
Katanya dia memasukkan wang itu ke dalam akaun seperti yang diminta pada 22 September dan 12 Oktober lalu.
"Selepas lebih seminggu, wang pinjaman yang saya tunggu masih belum diluluskan. Lim gagal dihubungi dan barulah saya menyedari bahawa saya telah ditipu dan wang sebanyak RM1,310 lesap begitu sahaja," katanya.
Mohamad Iqbal membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam semalam dan berharap pihak berkuasa dapat menangkap lelaki terbabit.
Sementara itu, ketua pusat khidmat dan aduan BN, Rawi Abdullah meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan syarikat pinjaman wang bagi mengelak ditipu.
"Saya telah menyemak nombor pendaftaran syarikat itu dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan mendapati syarikat itu tidak wujud," katanya.
- Bernama

