Ahli parlimen Puchong Gobind Singh Deo hari ini menghantar usul kepada setiausaha Dewan Rakyat supaya menyemak semula keputusan speaker yang memutuskan isu saman sivil Jabatan Keadilan (DOJ) tidak boleh dibahaskan kerana subjudis.

Dalam usul berkenaan, Gobind meminta supaya keputusan yang dibuat Speaker dikaji semula kerana peraturan yang menghalang pertanyaan subjudis tidak terpakai kepada kes di luar Malaysia.

Katanya, tindakan sivil oleh DOJ tidak boleh dijadikan asas untuk menolak soalan atau seseorang menteri dikecualikan untuk menjawab soalan atas alasan subjudis.

"Kita mempunyai parlimen di seluruh dunia dan rujukan utama ialah buku Erskine May yang mana ia berkata bahawa undang-undang (subjudis) itu tidak terpakai terhadap kes yang berada di luar negara.

"Isu subjudis juga timbul pada sidang yang lalu. Ahli parlimen yang mencadangkan usul tersebut mesti didengari. Jika bantahan dibangkitkan daripada pihak lain berdasarkan subjudis, maka perkara itu boleh diputuskan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya usul yang dibawanya dibahaskan.

"Saya cadangkan supaya membenarkan usul ini dibawa ke Dewan Rakyat dan ia boleh dibahaskan.

"Beri peluang kepada semua anggota parlimen yang berminat dengan isu ini. Jadi kita boleh dapatkan panduan.

"Benarkan saya untuk bahaskan perkara ini supaya kita dapat luahkan pandangan kita" katanya.

Isnin lalu, Pandikar menegaskan bahawa menteri tidak perlu menjawab soalan yang dikemukakan mengenai saman DOJ yang difailkan di mahkamah di California Julai lalu.

Saman itu adalah berhubung dengan apa yang digambarkan oleh DOJ sebagai antara tindakan terbesar yang pernah dibuat mengikut Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi, yang membabitkan kira-kira AS$1 bilion aset berkaitan 1MDB yang didakwa diselewengkan.

Hari ini, Pandikar sekali lagi menjelaskan keputusannya tidak membenarkan soalan berkaitan saman sivil DOJ kerana bimbang ia mempengaruhi kes tersebut.

Menurut Pandikar, perbahasan mengenai isu berkenaan dalam parlimen boleh digunakan walaupun perbicaraan itu dilakukan di luar negara.