Maria ambil langkah berjaga-jaga, mahu CCTV, pemandu
Diterbitkan: Oct 20, 2016 6:00 PM | Dikemas kini: Oct 20, 2016 6:46 PM
Untuk memastikan keselamatan keluarganya, Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah berkata beliau terpaksa mengambil langkah-langkah berjaga-jaga.
Antara tindakan itu, termasuk memasang kamera litar tertutup (CCTV) dan mengupah seorang pemandu.
Ini berikutan insiden terbaru, pagi tadi yang menyaksikan kereta anaknya disimbah dengan cat merah.
"Saya perlukan seorang pemandu dan sudah pastinya, CCTV. Saya akan mengambil langkah berjaga-jaga.
"Tetapi, mereka tidak akan menakutkan kami," kata Maria kepada media.
Terdahulu, BERSIH dan Suaram menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di Kuala Lumpur.

