Siasatan 1MDB: Polis masih mengesan saksi
Polis masih mengesan saksi berkaitan siasatan 1MDB, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada media di Kuala Lumpur hari ini.
Menurut ketua polis negara polis masih perlu menjalankan siasatan lanjut dan itulah yang sedang dilakukan pihaknya.
Bagaimanapun kata Khalid ada beberapa saksi yang tidak dapat diambil keterangan mereka dan perlu dikesan.
Bagaimanapan beliau enggan mendedahkan butiran saksi yang belum ditemui itu.
Menurut Khalid sebelum ini polis menyerahkan kertas siasatan kepada Pejabat Peguam Negara tetapi dikembalikan semula. Justeru katanya siasatan lanjut sedang dijalankan.
Pada April lalu Khalid mengumumkan pembentukan sebuah pasukan khas bagi menyiasat kemungkinan skandal membabitkan 1MDB melibatkan perbuatan pecah amanah.
Pasukan itu ditubuhkan ekoran cadangan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.
Polis menyiapkan fasa pertama siasatan terhadap syarikat pelaburan milik penuh kerajaan itu pada Ogos dan kini berada di peringkat kedua.
Pembangkang mengkritik polis kerana didakwa melengah-lengahkan siasatan berkenaan.
Sementara itu Khalid turut mengulas insiden seorang doktor diserang unit tindakan khas polis selepas dia disalah anggap sebagai perompak.
Menurutnya polis menyerbu sederetan gerai makanan di Serdang pada 7 Oktober lalu bagi mengesan beberap suspek perompak yang memecah masuk beberapa rumah di kawasan berkenaan.
Katanya polis percaya suspek berada di kawasan itu dan meminta orang awam tidak ke mana-mana ketika serbuan ke atas mereka dijalankan.
Bagaimanapun ketika sebuan dibuat, katanya, doktor terbabit bersama beberapa suspek cuba melarikan diri.
"Doktor itu lari juga. Maksud saya lari lintang pukang, jadi polis sangka dia salah seorang suspek," katanya.
Khalid kemudian menasihati sesiapa saja yang tidak ada kaitan dengan polis supaya sentiasa mendengar mematuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan mereka.
Walaupun kesal dengan kejadian itu beliau berkata polis tidak akan meminta maaf atas kejadian itu kerana mereka hanya menjalankan tugas.
Bagaimanapun menurut laporan TheSun, doktor terbabit melarikan diri kerana menyangka anggota polis yang bertugas ketika itu adalah perompak.
Akhbar itu melaporkan dalam laporan polisnya doktor terbabit mendakwa anggota keselamatan itu tidak memakai sebarang tanda yang menunjukkan mereka pihak berkuasa.

