Seorang lelaki rentung manakala tiga lagi cedera apabila kereta Toyota Vellfire yang dinaiki mereka terbabas sebelum terbakar di susur keluar Pasir Gudang, Lebuhraya E22 Senai-Desaru, dekat Johor Bahru semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam DSP Norazam Shaari berkata kemalangan berhampiran Tol Cahaya Baru, Masai kira-kira pukul 5 pagi itu menyebabkan mangsa, Ang Keat Chuan, 46, yang memandu kereta terbabit menemui ajal akibat tersepit di tempat duduk ketika kereta itu mula terbakar.

Tiga mangsa lain, Tey Han Kong, 36, Yap Kok Seng, 46, dan T. Vijayakumaran, 37, hanya mengalami kecederaan ringan, kata Norazam.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu dari arah Pengerang menghala ke Pasir Gudang itu, cuba mengelak binatang yang tiba-tiba melintas, lalu terbabas dan melanggar penghadang jalan di sebelah kiri, kemudiannya terbalik lalu menyebabkan kebakaran di bahagian enjin.

“Kita dapati kenderaan tersebut berada dalam keadaan terbalik dengan bahagian pemandu di bawah.

“Kesemua penumpang lain dapat menyelamatkan diri manakala pemandu yang tidak sedarkan diri sejurus selepas kemalangan, telah terperangkap dan terbakar bersama kenderaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi..

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Gudang, Mohd Rafi Mohd Nor berkata, empat anggota dan sebuah jentera dihantar ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada pukul 5 pagi.

"Sebaik tiba, kita dapati kereta tersebut telah terbakar keseluruhannya dan seorang mangsa yang dalam keadaan tersepit, rentung di dalamnya," katanya.

Mayat Ang dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk bedah siasat manakala mangsa yang cedera juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan, kata Mohd Rafi.

Sementara di Sepang, seorang penunggang motosikal wanita maut apabila tersepit antara dua lori membawa muatan batu yang terlibat dalam kemalangan berhampiran kilang Hartalega di Kawasan Perindustrian Tanjung semalam.

Nor Shahira Shahrom, 21, dari Kampung Baru Lanjut, Sepang ditemui tertindih antara lori-lori berkenaan dalam kemalangan kira-kira 2.05 petang itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat KLIA Yahya Mohd Sham berkata anggota penyelamat terpaksa merangkak di bawah perut lori dan memotong bahagian kenderaan bagi mengeluarkan mangsa.

Yahya berkata difahamkan wanita itu yang juga pekerja restoran di KLIA sedang dalam perjalanan ke tempat kerja ketika kemalangan berlaku dipercayai apabila sebuah daripada lori terbabit melanggar belakang lori yang berada di
hadapannya.

Beliau berkata seorang daripada pemandu lori itu cedera dan dirawat di Hospital Putrajaya, manakala seorang lagi pemandu lori tidak mengalami kecederaan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Putrajaya untuk bedah siasat.

- Bernama