Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
T'ganu kaji sedia laluan berasingan untuk wanita di jabatan k'jaan

Kerajaan negeri Terengganu akan mengkaji mengadakan laluan berasingan bagi lelaki dan wanita di jabatan kerajaan di negeri itu untuk memudahkan kaum wanita berurusan.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata langkah itu adalah satu daripada pembaharuan kerajaan negeri dalam usaha merealisasikan agenda Transformasi Terengganu Baru (TTB).

"Ini (laluan berasingan) sangat bagus untuk memberi kemudahan kepada wanita.Kita akan buat dua laluan terutama di pejabat kerajaan yang menjadi tumpuan orang ramai.

"Ia tidak ada masalah untuk dilaksanakan dan ini boleh diterjemahkan dalam TTB," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita peringkat negeri di Kuala Terengganu semalam yang turut dihadiri Exco Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri, Roslee Daud.

Beliau mengulas usaha beberapa agensi kerajaan antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyediakan kaunter laluan khas untuk wanita tanpa perlu mengambil nombor giliran selama tiga hari mulai Selasa lepas dan berakhir hari ini.

Sejak menjadi menteri besar, Ahmad Razif menggunakan pendekatan yang lebih Islamik dalam pentadbirannya seperti menutup pusat beli belah pada pukul 12 tengah hari hingga 2 petang setiap hari Jumaat serta mencegah lelaki dan perempuan yang bukan muhrim membonceng motosikal.

Dalam pada itu, bagi memperkasakan wanita di negeri tersebut yang merupakan penyumbang ekonomi negeri, kerajaan akan menempatkan peniaga wanita di ruang pasar malam Pasarnita yang akan dibuka di Kampung Tanjung dekat Kuala Terengganu.

Pasar malam yang akan beroperasi bermula 13 November ini menyediakan segala kemudahan seperti bekalan elektrik, air, tandas, surau, tempat letak kenderaan dan lain-lain untuk peniaga dan pengunjung.

Ia dikendalikan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) dan akan memberi peluang kepada kaum wanita berniaga tiga hari berturut-turut dalam seminggu dari pukul 3 petang hingga 12 tengah malam.

Sementara itu, pesara guru Ainun Jamilah Mohd dari Besut dianugerahkan sebagai Tokoh Wanita Terengganu 2016 dengan menerima hadiah wang tunai RM5,000 serta piala.

Empat penerima Anugerah Wanita Cemerlang ialah Pengetua Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, Meriam Jusoh (kategori pendidikan), Ketua Pegawai Eksekutif Portray (Malaysia) Bhd Datuk Sri Maziah Musa (kategori usahawan).

Ketua Wanita Umno Cawangan Teluk Pasu, Fatimah @ Kasma Mokhtar (kategori sosial dan kebajikan) dan jaguh lumba basikal wanita negara Fatehah Mustafa (kategori sukan) yang masing-masing menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan piala.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS