Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara menolak rayuan Raub Australian Gold Mining (RAGM) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes saman fitnah yang dimenangi penduduk Bukit Koman, Hue Shieh Lee.

Mahkamah Rayuan juga memerintahkan RAGM membayar RM20,000 kepada Hue.

Panel tiga hakim itu dipengerusikan oleh Hakim Datuk David Wong Dak Wah. Dua hakim lain ialah Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid dan Hakim Datuk Kamardin Hashim.

Pada tahun 2013, RAGM memulakan saman fitnah terhadap tiga anggota Ban Cyanide Action Group (BCAC), yang telah berkempen menentang syarikat lombong emas itu berhampiran kampung mereka di Bukit Koman, Raub, Pahang.

Selain Sheih Lee, dua lagi ialah pengerusi BCAC, Wong Kim Hoong dan setiausaha Hue Fui How.

Selepas itu, Wong dan Fui How memohon maaf secara terbuka di mahkamah kepada RAGM atas kenyataan mereka dan RAGM menarik balik saman terhadap kedua-duanya.

Bagaimanapun, Shieh Lee memilih untuk mempertahankan kesnya di mahkamah.

RGAM, yang juga memfailkan saman fitnah terhadap Malaysiakini, telah bertegas bahawa dakwaan bahawa sodium cyanide yang digunakan untuk pengekstrakan emas adalah berbahaya kepada penduduk Bukit Koman, adalah tidak berasas.

Hakim Mahkamah Tinggi Rosnaini Saub, pada 23 Mei, menolak tuntutan syarikat lombong emas itu terhadap Malaysiakini dan tiga defendan lain, yang semuanya adalah anggota sidang redaksi portal berita itu.

RAGM kemudian memfailkan notis di Mahkamah Rayuan untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu menolak saman fitnahnya terhadap Malaysiakini.

[Baca berita penuh]