Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anggota polis antara 8 maut dalam nahas di Kota Belud

Anggota polis antara lapan individu yang maut dalam dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Kota Belud-Kota Kinabalu, dekat kota Kinabalu pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Belud Supt Mohd Zaidi Abdullah berkata mangsa Herlin Naxe Jeffery, 26, anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan dan abangnya Frenwell Jeffery, 31, serta seorang lagi mangsa Ellyzek
Johnny, 28, maut dilokasi kejadian apabila kereta Proton Gen 2 dinaiki mereka terbabit dalam nahas itu.

Katanya, mangsa lain yang maut ialah penumpang dalam sebuah lagi kereta Proton Saga iaitu Hamirah Mohamad Salleh, 39, Aidil Abd Jumat, 8, Vera Adira Jalius, 6, Nur Syikah Abd Jumat, 3, dan Neta Ramlan,37.

Dua daripada mangsa berkenaan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di hospital.

"Siasatan awal mendapati kenderaan Proton Gen 2 yang dinaiki mangsa dari arah Kota Belud menuju ke Kota Marudu dan ketika sampai di lokasi kejadian kereta berkenaan telah bertembung dengan kereta Proton Saga dari arah bertentangan.

Pada masa yang sama dua kenderaan iaitu Perodua Kancil dan Toyota Hilux dari arah Kota Marudu menuju ke Kota Belud cuba mengelak daripada kemalangan itu terbabas ke dalam parit di sebelah kiri jalan dan (penumpang dan pemandu) hanya mengalami kecederaan ringan," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu pada pukul 5.59 pagi.

Lori terjunam ke gaung

Di Nilai pula, seorang pemandu lori tangki minyak sawit maut selepas kenderaannya terjunam ke dalam gaung di Lebuh Raya Elite arah ke utara dekat Nilai awal pagi tadi.

Dalam laporan kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, Zakaria Teoh Abdullah, 57, tersepit di tempat duduknya dan cedera parah.

"Kita terpaksa menggunakan kren untuk mengangkat lori tangki berkenaan sebelum kerja-kerja mengeluarkan mangsa dijalankan," kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Ahmad Ridwan Yahya ketika dihubungi.

Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Beliau berkata lori berkenaan yang datang dari Johor dipercayai terbabas dan hilang kawalan sebelum terjunam ke dalam gaung.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS