Haniff Khatri: Pandikar bimbang DOJ panggil menteri
Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia boleh dipanggil Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat untuk memberi keterangan di negara itu, kata peguam Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut Haniff Khatri Abdulla itulah alasan sebenar mengapa Pandikar membuat keputusan bahawa soalan berkaitan 1MDB tidak boleh dibangkitkan di parlimen atas alasan ia bersifat subjudis.
"Apa yang yang disembunyikan? Katakan yang benar walaupun pahit," katanya kepada Malaysiakini.
Menurut Haniff Khatri, itu yang ingin didengari rakyat daripada ahli parlimen mereka, terutama di kalangan menteri.
"Jika Pandikar sedang melihat kemungkinan Hansard digunakan untuk mempengaruhi kes DOJ itu ... maka ia hanya menunjukkan ketakutan speaker terhadap menteri yang mungkin akan diminta untuk tidak bercakap benar dan akibatnya mereka boleh dipanggil memberi keterangan, " katanya.
Bagaimanapun Haniff Khatri menegaskan wakil rakyat diberi imuniti terhadap apa yang dikatakan mereka di parlimen.
Oleh itu, beliau menegaskan walaupun DOJ mengeluarkan sapina ke atas mereka, anggota parlimen yang terbabit boleh memohon untuk mengetepikannya di Malaysia.
"Jadi apa yang ditakutkan untuk bercakap benar. Saya pasti DOJ memiliki bukti mereka sendiri (dan tidak bergantung kepada Hansard semata-mata).
"Apa yang diperlukan ialah jawapan sebenar yang sedang dielakkan oleh semua orang, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak," katanya.

