Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyifatkan tindakan sebahagian pembangkang keluar dari Dewan Rakyat semasa beliau membentangkan Belanjawan 2017 sebagai "memalukan diri mereka sendiri".

"Dia memalukan diri mereka sendiri di mata rakyat. Saya yakin rakyat dapat menilai perangai mereka.

"Kalau nak amalkan demokrasi kita mesti hormat proses demokrasi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Ketika Najib membentangkan Bajet 2017 petang ini, Dewan Rakyat kecoh apabila anggota parlimen pembangkang beramai-ramai mengangkat plakad “#SiapaMO1”.

Ia berlaku ketika Najib menolak dakwaan “seorang pemimpin pembangkang” yang berkata Malaysia mengharungi ribut ekonomi sukar pada tahun ini.

Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia kemudian campur tangan dan meminta menteri kewangan tidak diganggu ketika membentangkan belanjawannya.

Kebanyakan wakil pembangkang meninggalkan dewan tetapi ia tidak berlaku pada anggota parlimen PAS. Najib kemudian menyatakan penghargaannya kepada wakil rakyat yang terus kekal mengikuti pembentangannya.

Ketika ditanya mengenai plakad bertulis #SiapaMO1 itu Najib berkata ia merupakan perangai pembangkang yang hodoh.

"Itu perangai mereka la, hodoh la tu," katanya sambil tersenyum.

Selain itu, Najib yang juga anggota parlimen Pekan mendakwa tindakan keluar dewan tidak dilakukan di negara maju walaupun wakil rakyat mereka berbeza pendapat.

"Ini juga mengaibkan imej parlimen. Saya ingat yang penting rakyat mesti menilai perangai mereka (pembangkang) dan rakyat kena buat keputusan apabila sampai masa," ujarnya.

Selangor, PP jangan minta bajet

Sehubungan itu, Najib yang juga menteri kewangan berpendapat supaya peribadi mulia wajar ditunjukkan oleh mana-mana pemimpin tidak kira sama ada daripada kerajaan atau pembangkang.

"Kita mesti hormati orang walaupun berbeza pendapat dan ideologi. Tapi kita kena bersopan dan tunjuk tingkah laku mulia kerana kita ini adalah pemimpin tak kira pembangkang atau kerajaan. Kita ini pemimpin.

"Pemimpin kena tunjuk tingkah laku baik, perangai baik supaya dihormati rakyat dan kemuliaan sistem demokrasi berparlimen terpelihara," katanya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata tindakan pembangkang terbabit tidak matang.

Malah wakil dari Pengerang itu secara sinis mencadangkan mereka supaya tidak meminta peruntukan belanjawan daripada Pusat untuk Selangor dan Pulau Pinang.

Kedua-dua negeri itu ditadbir hasil gabungan PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) di Pulau Pinang dan PKR, DAP, PAS dan AMANAH di Selangor.

“Tindakan ahli parlimen pembangkang keluar dewan adalah bukti mereka tidak matang. Lebih baik jangan minta peruntukkan daripada kerajaan pusat bagi #Bajet2017 negeri Selagor dan Pulau Pinang,” tulisnya di Twitter.

Bagi wakil Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan pula tindakan pembangkang tadi tidak menghormati parlimen kerana ucapan bajet adalah sebahagian dari prosiding institusi itu.

Pembangkang juga kata Abdul Rahman mempunyai masa yang mencukupi untuk membahas dan mengkritik bajet seperti yang dilakukan sebelum ini.

“Berjalan keluar adalah tingkah laku yang kasar dan mentah.

“Pembangkang tidak menghormati institusi berparlimen yang sudah lama terpakai. Pembentangan bajet adalah sebahagian daripada prosiding parlimen yang perlu dihormati,” katanya di Twitter.

Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang pula berkata bajet yang dibentangkan Najib sungguh cemerlang sehingga pembangkang tidak boleh menahan perut dan membuat protes yang memalukan.

“Tahniah PM @NajibRazak , # Bajet2017 yang cemerlang untuk rakyat Malaysia. Terbukti apabila ahli parlimen Pakatan tidak boleh bertahan untuk mendengar segala-galanya. (Ia) memalukan,” katanya.

Ahli Parlimen Pontian yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan menyifatkan tindakan pembangkang sebagai "drama politik murahan".

“#Bajet2017 - ahli parlimen pembangkang DAP, PKR, AMANAH, PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia - BERSATU) keluar dewan. Ini drama politik murahan. MP PAS kekal dalam dewan,” tulisnya di Twitter.

Lihat Komen
ADS