Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM tahan 3 lagi pegawai kanan sebuah agensi k'jaan di Sabah
Diterbitkan:  Oct 21, 2016 7:47 PM
Dikemaskini: 11:49 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan tiga lagi pegawai kanan sebuah agensi kerajaan di Sabah semalam menjadikan jumlah keseluruhan pegawai jabatan itu yang ditahan dalam Ops Water Fasa II kepada 22 orang.

Sumber yang rapat dengan pasukan siasatan SPRM berhubung penyelewengan dana projek infrastruktur asas bernilai RM3.3 bilion di Sabah memberitahu Bernama ketiga-tiga pegawai berkenaan ditahan di daerah berasingan.

"Mereka ditahan di antara jam 7 malam dan 11.45 malam semalam di daerah bertugas masing-masing," menurut sumber berkenaan hari ini.

Ketiga-tiga suspek itu direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Lahad Datu ke atas dua suspek manakala seorang lagi di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.

Sumber tersebut juga menyebut bahawa setakat hari ini, SPRM telah merampas wang tunai berjumlah lebih kurang RM5.9 juta sepanjang operasi tiga hari itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya(Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.

Semalam, 19 pegawai kanan jabatan berkenaan direman antara empat hingga tujuh hari selepas mereka ditahan SPRM yang membuat serbuan serentak di 27 lokasi di seluruh Sabah pada 19 Oktober lalu.

Ops Water Fasa II dilancarkan susulan Ops Water Fasa I pada 4 Oktober lalu apabila SPRM mendapat maklumat daripada suspek yang ditahan sebelum ini mengenai kemungkinan pembabitan lebih ramai pegawai kanan jabatan berkenaan dalam kes penyelewengan dana itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS