Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Selepas BSI, bank misteri jadi custodian bank 'unit' Brazen Sky
Diterbitkan:  Oct 24, 2016 1:50 PM
Dikemaskini: 5:54 AM

Kementerian Kewangan mengesahkan bahawa sebuah bank baru telah mengambil alih fungsi BSI Bank sebagai ‘custodian bank’ bagi Brazen Sky Limited - anak syarikat milik penuh 1MDB.

Walau bagaimanapun, kementerian itu, dalam jawapan bertulis parlimen, enggan menamakan bank baru berkenaan.

"Unit dana Brazen Sky Limited adalah diurus oleh pengurus dana. Fungsi pengurus dana ini adalah berlainan dengan fungsi custodian bank, yang antara lain, menjadi perantara.

"Ahli Lembaga Pengarah Brazen Sky Limited mengesahkan sebuah bank berlesen antarabangsa telah diberi mandat sebagai custodian bank untuk mengambil alih peranan BSI Bank Singapura.

"Ahli Lembaga Pengarah Brazen Sky Limited juga telah melaporkan bahawa tiada perubahan nilai status di dalam nilai pelaburan tersebut," kata kementerian itu.

Ini adalah sebagai respons kepada soalan Petaling Jaya Utara MP Tony Pua, yang meminta Kementerian Kewangan untuk menyatakan custodian bank baru yang menyelia "unit" milik Brazen Sky bernilai AS$940 juta.

Mei lalu, Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS) menutup operasi BSI Bank di republik itu berhubung "pelanggaran serius” dasar anti pengubahan wang haram, kurangnya pengawasan pengurusan operasi bank dan salah laku oleh beberapa kakitangan bank" .

Walaupun MAS tidak pernah menyebut 1MDB bagi alasan pembatalan lesen bank saudagar BSI Bank, beberapa bekas kakitangan BSI Bank, termasuk Yeo Jiawei, telah didakwa di mahkamah berhubung dengan urusannya dengan 1MDB.

Kes ini akhirnya membawa peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BSI Stefano Coduri dan beberapa siasatan lain di Zurich.

"Unit" milik Brazen Sky Limited ini penting dalam skandal 1MDB kerana "unit" itu kononnya mewakili wang yang ditebus akibat terbatalnya usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi International.

Projek usaha sama itu ditandatangani pada bulan September 2009, tetapi perjanjian itu dibatalkan dalam masa enam bulan. Wang 1MDB itu kemudian disalurkan ke sebuah dana yang berdaftar di Cayman Islands sebelum dipindahkan ke Brazen Sky Limited dalam bentuk "unit".

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS