Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pendakwah: Golongan pemalas tak layak terima zakat
Diterbitkan:  Oct 24, 2016 4:25 PM
Dikemaskini: 8:33 AM

Pihak yang sihat tubuh badan tetapi malas bekerja haram menerima bantuan zakat, kata pendakwah terkenal Dr Zaharuddin Abdul Rahman.

Bagaimanapun, kata pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (MURSHID) itu, pihak yang belum mendapat pekerjaan atau berpendapatan kecil masih layak dibantu melalui zakat (asnaf fakir dan miskin) dan sedekah.

“Bantuan atau pemberian sesuatu kepada fakir miskin yang bukan daripada golongan ‘malas’ bukan hanya daripada sumber zakat dan sedekah sahaja, bahkan mereka juga boleh menerima pemberian apabila seseorang yang hendak membersihkan wang atau harta (disebabkan riba atau judi terdahulu),” beliau dipetik sebagai berkata.

Selangorkini melaporkan Zaharuddin memetik kisah dua orang pemuda yang sihat dan kuat bertemu Nabi Muhammad.

“Nabi Muhammad SAW berkata, kalau kamu berdua inginkan zakat, aku boleh berikan tetapi haram ke atas lelaki yang mampu dan kuat.

“Maknanya, pemberian bantuan itu dengan peringatan bahawa kalau malas ia tidak harus bagi kamu,” katanya ketika mengulas isu kemiskinan di negara ini.

Zaharuddin berkata, Islam menggariskan dasar yang jelas kepada fakir dan miskin iaitu kemiskinan disebabkan anggota badan yang lemah atau cacat.

Katanya, orang miskin yang malas dan sentiasa mengharapkan bantuan sedangkan mampu bekerja adalah orang yang jatuh kehormatannya pada pandangan masyarakat dan Islam.

“Mereka yang menganggur dan mengharapkan bantuan orang itu adalah sifat yang terkeji dalam Islam. Orang yang sihat tubuh badan wajib bekerja melainkan jika dia diberhentikan kerja.

“Dia tak mampu tanggung kos atau bil rumah dan kereta yang tinggi, sementara dia mencari kerja yang layak, maka boleh menerima zakat dan bantuan,” beliau dipetik sebagai berkata.

Lihat Komen
ADS