Kerana syurga di telapak kaki ibu...
"Biarpun penat, saya rela berulang-alik menaiki motosikal sejauh 15km dari kampus ke rumah di Putrajaya bagi mengelakkan emak yang terlantar sakit, kelaparan."
Demikian luahan Anis Ayuni Ismail, 22, yang terpaksa mengimbangi antara tugas dan kesibukannya sebagai mahasiswi dengan tanggungjawab menjaga ibunya yang lumpuh seluruh anggota badan.
Siswazah Ijazah Sarjana Muda Sains (Sains Bioperubatan) di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata ibunya Nik Mah Nik Kob, 62, menghidap penyakit angin ahmar sejak 10 tahun lalu.
"Kalau ada satu hingga dua jam 'jarak' (rehat), saya akan balik ke rumah untuk beri emak makan kemudian pergi ke kelas semula. Setelah habis kelas pada waktu petang, saya akan bergegas pulang untuk mandikan emak dan beri emak makan.
"Emak boleh bercakap tetapi tidak jelas. Saya selalu kena pujuk dia kerana sejak sakit emak sensitif dan cepat menangis," katanya ketika dihubungi Bernama.
Anak kelahiran Kelantan itu yang merupakan antara penerima ijazah pada majlis Konvokesyen UPM Ke-40 hari ini melahirkan rasa syukur kerana berjaya menamatkan pengajian dan mencapai keputusan cemerlang meskipun terpaksa mengharungi pelbagai rintangan.
Anis Ayuni hari ini menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Sains Bioperubatan) yang disampaikan oleh Pro Canselor UPM Tan Sri Mohd Bakke Salleh pada majlis konvokesyen di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM.
"Semasa di universiti, saya jarang dapat sertai kumpulan belajar dengan kawan-kawan kerana terpaksa pulang ke rumah menjaga emak. Saya hanya ikuti perbincangan rakan-rakan melalui aplikasi WhatsApp," katanya menceritakan cabarannya dalam menamatkan pengajian.
Anak ketujuh daripada lapan beradik itu berkata beliau hanya menelaah pelajaran pada waktu malam setelah ibunya tidur.
"Sebagai insan biasa saya tidak lari daripada merasa tertekan. Saya bersyukur kerana mempunyai kakak menjadi tempat meluahkan perasaan ketika mempunyai masalah," katanya dengan nada sedih.
Meskipun terpaksa berdepan dengan cabaran hidup, beliau bernasib baik kerana mendapat biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam sepanjang tempoh pengajian dan mendapat wang saku daripada abangnya.
Katanya untuk rancangan pada masa hadapan, beliau masih menunggu panggilan untuk mengikuti program Skim Latihan 1Malaysia dan berharap akan mendapat pekerjaan secepat mungkin.
- Bernama

