Syed Ali Al-Habshee akan terima hukuman dengan hati terbuka
Setiausaha Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Syed Ali Al-Habshee berkata beliau akan menerima apa sahaja hukuman Lembaga Disiplin Umno, termasuk kemungkinan dipecat dari parti, dengan hati yang terbuka.
Setiausaha Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Syed Ali Al-Habshee berkata beliau akan menerima apa sahaja hukuman Lembaga Disiplin Umno, termasuk kemungkinan dipecat dari parti, dengan hati yang terbuka.
Bagaimanapun, beliau yang enggan memohon maaf selepas mengkritik lembaga tersebut baru-baru ini berkata: "Tetapi saya ingin memberitahu orang ramai bahawa saya bukan pengkhianat parti tetapi saya dipecat kerana mengkritik Lembaga Disiplin Umno kerana tidak adil dalam tindakan mereka".
Beliau berkata, kedudukan dan masa depannya dalam parti kini berada dalam tangan lembaga tersebut, berikutan keengganannya memohon maaf tersebut.
Sehubungan itu, katanya, beliau ingin memberitahu mereka (lembaga disiplin) bahawa "saya bukan sorang pengkhianat, sebaliknya tetap sayangkan parti yang telah saya disertai sejak 27 tahun lalu".
Syed Ali berkata, Lembaga Disiplin Umno mengarahkannya memohon maaf secara terbuka di dalam akhbar kerana mengkritik tindakan badan itu menggantung selama tiga tahun Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Datuk Shahrir Abdul Jalil kerana didakwa terbabit dalam politik wang semasa pemilihan parti tahun lalu.
Katanya, dalam surat itu yang dihantar kepadanya minggu lalu, lembaga tersebut mahu beliau membuat kenyataan akhbar mengakui kesalahan yang dilakukan mengkritik lembaga disiplin secara terbuka dan memohon maaf dalam tempoh 14 hari.
Katanya, lembaga disiplin Umno itu mengarahnya menulis dengan maksud: "Saya Datuk Syed Ali Al-Habshee, Ketua Umno Bahagian Cheras mengaku salah kerana mengkritik Lembaga Disiplin Umno secara terbuka dan berjanji tidak melakukannya lagi."
Sudah balas surat
Bagaimanapun, Syed Ali enggan memohon maaf kerana menurutnya beliau tidak melakukan sebarang kesalahan yang boleh dikenakan hukuman oleh lembaga tersebut.
Namun beliau menghantar surat jawapan kepada lembaga tersebut semalam tetapi bukan untuk memohon maaf.
"Saya sepatahpun tidak menulis perkataan mohon maaf kepada lembaga tersebut, tetapi sekadar memberi jawaban kepada surat yang dihantar kepada saya minggu lalu," katanya.
Selain Syed Ali, seorang lagi penerima surat amaran itu, Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Zaid Ibrahim, diberi tempoh 14 hari untuk memberi jawaban atau menghadapi tindakan dari Lembaga Disiplin Umno kerana mengkritiknya.
Sebelum itu, Pengerusi lembaga itu, Tengku Ahmad Rithaudeen Ismail dilaporkan sebagai berkata, mereka yang mengkritik badan bebas itu secara terbuka boleh dikenakan tindakan disiplin termasuk penggantungan dan pemecatan.
Menurut Syed Ali, Lembaga Disiplin Umno mahu mengambil tindakan ke atasnya kerana mengkritik dan mempertikaikan keputusan lembaga itu menggantung keahlian Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai, Datuk Shahrir Abdul Jalil.
Shahrir dikenakan hukuman itu selepas didapati bersalah Artikel 5 Kod Etika Umno kerana menaja majlis makan di rumahnya., manakala Zaid pula diberi amaran selepas didapati bersalah di bawah Artikel 2.2 kerana terlibat dengan politik wang.

