Polis tahan tiga pemimpin Angkatan Muda PKR
Tiga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), termasuk ketua penerangan Angkatan Muda parti itu, Badrul Hisham Shaharin telah ditahan polis ketika dalam perjalanan untuk menjayakan program parlimen angkat Balik Pulau di Pulau Pinang malam tadi.
Tiga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), termasuk ketua penerangan Angkatan Muda parti itu, Badrul Hisham Shaharin telah ditahan polis ketika dalam perjalanan untuk menjayakan program parlimen angkat Balik Pulau di Pulau Pinang malam tadi.
Badrul Hisham serta ketua Angkatan Muda PKR Pulau Pinang, Amizuddin Ahmat dan Umar Tan, sedang menaiki kenderaan pacuan empat roda yang sarat dengan risalah parti, apabila mereka ditahan di Teluk Kumbar, pada jam 9.20 malam.
Ketika dihubungi hari ini, Badrul Hisham berkata mereka ditahan oleh sekumpulan tiga anggota polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Barat Daya, Balik Pulau setelah kenderaan pacuan empat roda yang mereka dinaiki itu dipintas oleh kereta peronda polis..
Pada masa itu, katanya, mereka dalam perjalanan menuju ke Bilik Gerakan PKR di Pulau Betong untuk membahagikan risalah mengenai isu semasa kepada penduduk setempat sempena program parlimen angkat di kawasan Balik Pulau, anjuran Angkatan Muda parti tersebut..
Menurutnya, sebaik beliau memberhentikan kenderaan pacuan empat roda itu, anggota polis berkenaan mengambil kad pengenalan dan meminta mengikut mereka ke IPD Balik Pulau.
Beliau berkata, anggota polis tersebut mahu mengeledah kenderaan tetapi tidak berjaya apabila gagal menunjukkan waran setelah diminta berbuat demikian.
Gagal tunjuk waran
Katanya, anggota polis itu mendakwa mereka mendapat arahan dari Ibu Pejabat Polis Negeri untuk menahan mereka bertiga tetapi tidak memberitahu sebab-sebab penahanan tersebut.
"Kami dibawa ke IPD daerah dan ditahan selama tiga jam sebelum dibebaskan kira-kira jam 12.30 malam tadi, setelah didesak oleh ahli PKR Pulau Pinang yang diketuai oleh Ketua PKR Balik Pulau, Dr Mansor Osman," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau mendakwa, pihak polis bertindak demikian kerana ada pihak tertentu yang memperalatkan pihak keselamatan untuk menggagalkan program anjuran PKR itu.
Bagaimanapun, katanya, penahanan tersebut tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus mendedahkan pelbagai isu semasa seperti kenaikan harga barangan keperluan harian akibat kenaikan minyak.
Beliau berkata, program parlimen angkat anjuran Angkatan Muda PKR melibatkan beberapa kawasan parlimen yang berpontesi dimenangi oleh PKR dalam pilihanraya umum akan datang.
Katanya, antara kawasannya ialah Balik Pulau, Pekan, Gombak, Kota Bharu, Kuala Terengganu, Sungai Petani, Lembah Pantai, Lumut dan Bukit Katil.

