Insiden kebakaran Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru yang meragut enam nyawa semalam adalah kejadian kebakaran besar pertama yang berlaku di hospital itu.

Bagaimanapun, kes itu mencatatkan sebagai tragedi paling buruk membabitkan kehilangan nyawa dalam sejarah kejadian kebakaran hospital di negara ini.

Berdasarkan data Pusat Maklumat dan Perpustakaan Berita Bernama (BLIS), terdapat tujuh insiden kebakaran besar berlaku melibatkan beberapa hospital sejak 1993.

Kronologi Kebakaran Hospital:

* 30 Mei 1993: Sebahagian dari tingkat dua di blok pentadbiran di Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia bersebelahan dengan Hospital Besar Kuala Lumpur musnah dalam kebakaran pada pukul 2.30 pagi. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

* 8 Julai 1993: Kebakaran di Institut Neurologi Hospital Besar Kuala Lumpur pada pukul 2 pagi menyebabkan 190 katil pesakit dikosongkan untuk keselamatan. Kebakaran menyebabkan kerugian kira-kira RM200,000. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

* 16 Januari 1995: Kebakaran di bawah tangga di tingkat tiga Hospital Universiti memusnahkan beberapa barangan pembinaan yang disimpan oleh kontraktor di bawah tangga.

* 2 Mei 2007: Bekalan elektrik terpelantik dalam lif yang menyebabkankebakaran kecil di tingkat satu Wad Neurologi Hospital Kuala Lumpur, menyebabkan50 pesakit dan pelawat terpaksa dipindahkan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

* 30 Julai 2011: Kebakaran di Bilik Isolasi Pesakit Mental, Jabatan Kecemasan Hospital Kuala Lumpur berpunca daripada tindakan seorang pesakit mental memulakan kebakaran dengan menggunakan pemetik api. Kejadian berlaku pada pukul 12.30 tengah malam itu menyebabkan api merebak dengan pantas serta mengeluarkan asap tebal. Seorang maut dalam kejadian itu.

* 15 Februari 2014: Sebuah blok bangunan baharu di Hospital Umum Sarawak terbakar akibat percikan api kimpalan daripada pembinaan di dalam kawasan hospital.

Tiada kerosakan dilaporkan tetapi seorang pekerja binaan warga Indonesia berusia 35 tahun ditemui mati dengan tanda terbakar di tempat kejadian. Seramai 151 pesakit dari enam wad dipindahkan.

* 15 Ogos 2016: Kebakaran kecil di stor simpanan barang Hospital Sri Kota, Klang. Tiada pemindahan pesakit atau pelawat, dan tiada sebarang kemalangan jiwa.

Menurut maklumat dari laman sesawang HSA, hospital yang terletak di Jalan Skudai kira-kira dua kilometer dari pusat bandar Johor Bahru itu dibina pada 1938 bagi menggantikan hospital terawal di daerah itu pada 1882.

Dengan keluasan 98.6 hektar, HSA yang berhampiran Selat Tebrau dan berhadapan dengan Singapura itu mempunyai bangunan hospital setinggi lima tingkat. Direka bentuk oleh syarikat arkitek 'Palmer and Turner', HSA mempunyai dua sayap berbentuk 'T'.

Kini HSA menyediakan 21 perkhidmatan klinikal, sembilan perkhidmatan sokongan klinikal, lima perkhidmatan sokongan bukan klinikal dan tujuh unit di bawah Pengurusan HSA.

Ia juga menjadi pusat rawatan koronari dan pembedahan jantung bagi Wilayah Selatan termasuk Sabah dan Sarawak.

ehingga 2010, sebanyak 989 katil disediakan di HSA bagi menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat di negeri itu.

- Bernama

Lagi berita dari pengarang :
Lihat Komen
Paling Popular
Terkini