Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Wanita bergelar 'Datuk Seri' palsu ditahan kes tipu pinjaman perniagaan
Diterbitkan:  Oct 26, 2016 7:39 PM
Dikemaskini: 11:47 AM

Seorang wanita berusia 36 tahun bergelar 'Datuk Seri' palsu ditahan selepas dipercayai terlibat menjalankan penipuan pinjaman kewangan, di sekitar Dang Wangi pada Jumaat lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kuala Lumpur SAC Izany Abdul Ghany berkata turut ditahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang merupakan pengarah syarikat konsultasi untuk siasatan lanjut.

"Kedua-dua suspek melakukan kegiatan itu dengan menyasarkan ahli perniagaan yang menghadapi masalah kewangan bagi meyakinkan mangsa untuk membuat pinjaman dengan mereka.

Kita sedang buat semakan tentang lain-lain kes yang melibatkan suspek
termasuk gelaran Datuk Seri yang digunakan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur hari ini.

Izany berkata hasil semakan awal, suspek terbabit turut terlibat dengan dua kes penipuan yang dilaporkan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dan IPD Sepang melibatkan nilai kerugian kira-kira RM200,000.

Izany berkata dalam kes terbaharu yang dilaporkan, seorang lelaki mendakwa telah ditipu oleh wanita itu bagi mendapatkan pinjaman kewangan berjumlah RM2 juta untuk membesarkan perniagaan percetakan milik mangsa.

"Pengadu yang telah berurusan dengan wanita itu sejak Disember tahun lepas bersetuju untuk mendapatkan pinjaman itu sebelum menyerahkan RM5,000 sebagai wang proses bersama borang permohonan kepada suspek.

Baki RM80,000 turut diserahkan kepada wanita itu secara berperingkat, namun dia menyedari dirinya ditipu setelah empat bulan wang pinjaman seperti yang dijanjikan tidak diperolehi," katanya.

Katanya, suspek bertindak memulangkan semula RM40,000 setelah didesak oleh mangsa namun mangsa mendakwa bakinya masih tidak diperolehi sehingga kini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, dengan sebat dan juga dikenakan denda jika sabit kesalahan, katanya.

Polis minta kerjasama orang ramai yang pernah menjadi mangsa penipuan oleh suspek supaya tampil membuat laporan polis di balai polis berhampiran. -Bernama

Lihat Komen
ADS