Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bekas pemimpin pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diperkenalkan Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2017 Jumaat lalu tidak akan mencapai tujuannya.

Anwar berkata, wawasan itu tidak akan ke mana selagi masalah salahguna kuasa tidak diselesaikan.

"Visi itu tak akan ke mana selagi kita tak atasi masalah salahgunakuasa dan tata kelola yang lemah," katanya di luar Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini.

Beliau juga berkata, kerajaan perlu menangani defisit besar dihadapi negara dan kenaikan harga barangan yang tinggi dihadapi rakyat.

Anwar yang juga bekas menteri kewangan ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1990an diminta mengulas ucapan belanjawan Najib baru-baru ini.

"Soalnya defisit besar, kita boleh umum (belanjawan) tapi wang itu dari mana. Ini prinsip pokoknya.

"Penyalahgunaan kuasa, penyewelengan itu harus ditangani. Kita tak boleh urus belanjawan dalam keadaan pembaziran begini, dalam keadaan ekonomi meleset.

"Masalah-masalah rakyat, harga barang, pelaksanaan projek ini yang lebih penting. Kebocoran dan ketirisan ini tidak ditangani," katanya.

Semalam Anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar juga membidas TN50 yang diperkenalkan Najib kerana seolah-olah menidakkan Wawasan 2020 yang dibina pemimpin terdahulu Tun Dr Mahathir Mohamad.

Wawasan 2020 adalah visi untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

"Kita mungkin tidak bersetuju dengan banyak perkara yang Mahathir lakukan, banyak kekejaman tetapi apabila melibatkan wawasan yang menggariskan masa depan bersama (kami tidak menyerangnya)," tambahnya.

Najib Jumaat lalu mengumumkan Bajet 2017 sebanyak RM260.8 bilion dengan perbelanjaan operasi melibatkan sebanyak RM214.8 bilion untuk belanja mengurus.

Lihat Komen
ADS