Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rumah mampu milik: S'gor dah buat lebih awal, kata Azmin

Kerajaan negeri Selangor telah lebih jauh terkehadapan berbanding Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam mengambil langkah bagi memastikan kumpulan sasaran memiliki rumah mampu milik.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, langkah tersebut dibuat melalui pembangunan rumah mampu milik dan kos rendah di atas tanah-tanah milik kerajaan negeri.

"Kita telah ambil langkah yang jauh lebih awal daripada kementerian bagi memastikan rumah mampu milik ini menepati kumpulan sasaran dan dapat menyediakan prasarana yang lebih sempurna kepada mereka.

"Nilai tanah di Selangor masih lagi munasabah dan tanah-tanah kerajaan itu kita gunakan untuk tujuan pembangunan rumah mampu milik dan kos rendah," kata Azmin ketika ditemui pemberita di luar bangunan Parlimen, hari ini.

Menteri KPKT, Tan Sri Noh Omar bercadang merayu kerjasama setiap kerajaan negeri agar menyelaras kuasa sedia ada dalam usaha menurunkan harga rumah dan perkara itu akan diketengahkan dalam mesyuarat perumahan negara akan datang yang bakal dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga anggota Parlimen Gombak berkata, langkah kerajaan negeri itu sekali gus dapat menjimatkan kos selain menetapkan syarat kepada pemaju syarikat swasta bagi tujuan pembangunan di negeri itu.

"Ini dapat menjimatkan kos sebab kalau tanah di Lembah Klang, tanah swasta sudah tentu nilainya lebih tinggi tetapi kita bina rumah-rumah ini di atas tanah kerajaan dan juga tanah-tanah yang ada hak milik tetapi kita meletakkan syarat supaya mereka perlu membina rumah di bawah program Selangorku sebelum membina rumah yang bernilai tinggi," kata Azmin.

Tambahnya, pihaknya juga turut meminta setiap pembinan pembangunan rumah Selangorku dan rumah mampu milik mesti dibina berdekatan dengan sistem pengangkutan awam.

"Kita juga minta supaya rumah Selangorku dan rumah mampu milik itu mesti dibina berdekatan dengan sistem pengangkutan awam seperti LRT, MRT sebab orang-orang inilah yang memerlukan perkhidmatan sebegitu yang tak bersedia dengan pengangkutan persendirian," kata Azmin.

Menerusi Bajet 2017, sebanyak 30,000 rumah kos mampu milik bakal disediakan di lokasi strategik selain 5,000 unit rumah mesra rakyat dan 10,000 unit rumah di bandar untuk disewa golongan muda.

Lihat Komen
ADS