Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saman pemula Gereja SIB bagi guna kalimah 'Allah' didengar 20 Feb
Diterbitkan:  Oct 27, 2016 3:25 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Mahkamah Tinggi menetapkan lima hari bermula 20 hingga 24 Februari tahun depan bagi mendengar saman pemula difailkan gereja Sidang Injil Borneo (SIB) berhubung haknya untuk menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitan dan amalan keagamaannya.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya selepas kes itu disebut di hadapannya hari ini.

Peguam Lim Seng Heng mewakili gereja SIB dan presidennya Reverend Datuk Jerry W.A Dusing@ Jerry W. Patel, manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan bertindak bagi pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan Malaysia.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla yang mewakili Majlis Agama Islam Wilayah Persekutan (MAIWP) hadir sebagai 'amicus curiae' (kawan mahkamah) ketika ditemui pemberita berkata mahkamah juga menetapkan 29 Nov ini bagi pengurusan kes itu.

Mohamed Haniff juga berkata mahkamah menukar tindakan undang-undang yang difailkan gereja SIB daripada semakan kehakiman kepada saman pemula atas alasan bagi mempercepatkan kes itu secara cekap.

Gereja SIB dan presidennya memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas buku agama mengandungi kalimah 'Allah' yang dibawa masuk dari Surabaya, Indonesia, di Terminal Penerbangan Tambang Rendah di Sepang pada 15 Ogos 2007.

Dalam permohonan mereka, gereja SIB dan Jerry menamakan KDN dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Sungguhpun buku itu dikembalikan kepada gereja berkenaan pada 25 Januari 2008, gereja dan Jerry meneruskan tindakan undang-undang dengan memohon kebenaran daripada Mahkamah Rayuan untuk memulakan semakan kehakiman.

Ia bagi memohon perisytiharan bahawa mereka mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan kalimah 'Allah' dalam terjemahan bahasa Malaysia dan bahasa Indonesia dalam bible Kristian, dan semua penerbitan dan bahan keagamaan lain.

Mahkamah Rayuan memberi kebenaran kepada mereka untuk memulakan semakan kehakiman pada 1 Oktober 2014.

- Bernama

Lihat Komen
ADS