Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam Maria Chin hairan hakim tiba-tiba bertukar

Peguam yang mewakili Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dalam saman fitnah yang difailkan terhadap Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berasa hairan berhubung pertukaran secara tiba-tiba hakim yang mengendalikan kes tersebut.

Menurutnya lagi, pertukaran itu berlaku tanpa sebarang alasan yang diberikan.

Melissa Sasidaran berkata, hari ini sepatutnya ketetapan untuk pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar di bawah Hakim S Nantha Balan.

"Apabila saman itu difailkan, dalam salinan yang termeterai, mahkamah memaklumkan kepada kami bahawa ia akan diadakan di mahkamah Hakim Nantha Balan.

"Bagaimanapun, beberapa hari lalu, kami menerima surat daripada seorang lagi timbalan pendaftar memaklumkan kes itu kini dikendalikan oleh Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab.

"Ini adalah berikutan arahan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Azahar Mohamed yang mengendalikan urusan mahkamah sivil untuk Mahkamah Tinggi KL," katanya.

Peguam itu menambah, tiada sebab diberikan atas pertukaran secara tiba-tiba itu dan membuatkan beliau berasa hairan.

Daripada menetapkan pengurusan kes hari ini, Melissa berkata, perkara itu kini telah dijadualkan semula pada Selasa ini.

Maria memfailkan saman terhadap Jamal pada 7 Oktober berikutan dakwaannya badan pemantau pilihan raya itu diresapi pengaruh pengganas IS.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS