Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pindaan Akta Kebankrapan dibawa ke kabinet minggu depan
Diterbitkan:  Oct 27, 2016 7:58 PM
Dikemaskini: 9:56 PM

Rang Undang-Undang (Pindaan) Kebankrapan 2016, yang memberi peluang kedua kepada individu yang pernah diisytiharkan bankrap, akan dibawa ke Kabinet minggu depan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata beliau optimis rang undang-undang itu dapat dibentangkan di Dewan Rakyat selewat-lewatnya pada persidangan Parlimen Mac tahun depan.

Beliau berkata antara perkara yang diberi perhatian ialah cadangan meminda Seksyen 33A Akta Kebankrapan 1967 berhubung pelepasan kebankrapan, yang akan memberi peluang kedua kepada mereka yang diisytiharkan bankrap untuk memulakan kehidupan baru.

Rang undang-undang itu juga memberi tumpuan kepada penjamin sosial iaitu mereka yang menjadi penjamin kepada geran pendidikan, sewa beli kenderaan dan pinjaman perumahan.

"Selain itu, turut dicadangkan adalah kadar kebankrapan dinaikkan daripada RM30,000 kepada RM50,000," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Parlimen hari ini.

Azalina berkata pindaan akta itu turut melibatkan cadangan untuk memendekkan jangka masa kebankrapan daripada lima kepada tiga tahun.

Menurutnya tempoh lima tahun adalah terlalu lama jika dibandingkan dengan negara-negara lain seperti Kanada yang mengenakan sembilan bulan, Thailand (tiga tahun), United Kingdom (12 bulan) dan Australia (tiga tahun).

Dalam pada itu, beliau berkata berdasarkan statistik kebankrapan Jabatan Insolvensi Malaysia, seramai 97,215 orang diisytiharkan bankrap sejak 2012 sehingga September lepas dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 27,269 orang.

Beliau berkata sewa beli kenderaan merupakan punca utama kebankrapan dengan mereka yang berumur dalam lingkungan 35 hingga 44 tahun adalah golongan paling ramai diisytiharkan bankrap iaitu 33,967 orang.

Dalam pembentangan Bajet 2017 pada 21 Oktober lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan akan meminda Akta Kebankrapan 1967 yang memberi perhatian kepada mereka yang diisytiharkan bankrap terutamanya kerana menjadi 'penjamin sosial'.

- Bernama

Lihat Komen
ADS