Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saranan 'angkat kaki' - pengerusi Bernama malas layan pengacara

Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang enggan mengulas mengenai penggantungan Datuk Dahlan Maamor sebagai pengacara Ruang Bicara di Bernama News Channel yang dahulunya dikenali sebagai Bernama TV.

"Saya tak nak komen apa-apa sekarang sebab ia melibatkan masalah dalaman," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ditanya mengenai kenyataan terbaru Dahlan supaya beliau berundur daripada jawatan sebagai pengerusi Bernama, Azman cuma berkata "Saya malas nak layan".

Terdahulu, Dahlan dalam status terbaru di Facebook hari ini meminta Azman 'angkat kaki' daripada agensi berita nasional itu.

Beliau turut menyentuh kandungan surat penggantungan oleh Bernama TV yang mendakwanya melanggar etika.

Surat tersebut ditandatangani pemangku pengarah operasi Bernama, Hakimi Zuffrida Mohd Zain.

"Mereka berikan alasan kerana etika. Etika apa yang saudara Hakimi maksudkan seperti dalam surat yang beliau tandatangani.

"Apapun Bernama TV perlukan perubahan. Azman Ujang kena angkat kaki," tulisnya ringkas.

Semalam, Dahlan menulis di Facebook menyatakan beliau digantung daripada menjadi hos program Ruang Bicara selepas mendapat 'protes hebat daripada media Umno'.

Tindakan itu dikatakan dibuat selepas beliau berkongsi pandangan peguam Adnan Seman di laman sosial itu yang meminta Datuk Seri Najib Razak berundur daripada jawatan sebagai perdana menteri.

Tulisan tersebut berbunyi "Peguam Tuan Haji Adnan Seman mohon Datuk Seri Najib berfikir secara serius untuk berundur jika itu membawa penyatuan ahli-ahli dan mengembalikan keyakinan rakyat kepada pemerintah"

Adnan dijemput sebagai tetamu dalam program Ruang Bicara bertajuk 'Kesudahan Politik Negara' yang disiar secara langsung malam Selasa lalu.

Lihat Komen
ADS