Pergerakan Pemuda Umno mengulangi pendirian menolak penerimaan semula mana-mana ahli yang pernah menjadi penderhaka kepada Umno.

Ketuanya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pergerakan itu juga menolak mereka yang menjadi ahli parti itu semata-mata demi kepentingan peribadi.

Menurut laporan Bernama , beliau berkata, walaupun Umno menerima tentangan daripada pihak pembangkang tetapi hanya orang Umno sendiri yang boleh merosakkan perjuangan parti dan menyebabkan parti itu tewas di masa akan datang.

"Sebab itulah kita akan menolak penerimaan (semula) mereka yang pernah menjadi penderhaka kepada parti, kita tolak mereka yang gunakan parti untuk kepentingan diri mereka," katanya semasa merasmikan mesyuarat Pemuda Umno Bahagian Marang di sini malam tadi.

Hishammuddin bagaimanapun tidak menyebut secara khusus siapakah penderhaka parti yang dimaksudkan dalam ucapannya itu.

Bagaimanapun, beliau membangkit perkara yang sama dalam Perhimpunan Agung Umno yang lalu di mana pergerakan itu, yang turut disokong Wanita dan Puteri Umno, menolak keras kemasukan semula bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke dalam Umno.

Anwar telah dipecat daripada Umno dan kerajaan pada tahun 1998 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad atas dakwaan salahlaku seks.

Dakwaan terbaru Anwar

Bagaimanapun, September tahun lalu, Anwar dibebaskan apabila Mahkamah Persekutuan telah membatalkan sabitan dan hukuman penjara ke atasnya bagi tuduhan liwat.

Hishammuddin dipercayai merujuk kepada berita terbaru di mana Dr Mahathir menafikan dakwaan Anwar sewaktu rancangan HardTalk yang disiarkan oleh BBC kelmarin, yang beliau memiliki 70 peratus pegangan dalam TV3.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pergerakan itu akan bekerja keras bagi memastikan perpaduan dan kerjasama antara anggota dikekalkan bagi kepentingan masyarakat.

Beliau berkata anggota yang tidak ikhlas dan jujur dalam perjuangan parti tidak akan ke mana manakala mereka yang tiada wang ringgit tetapi benar-benar ikhlas bekerja demi parti kini memegang jawatan tertentu.

Hishammuddin juga berkata sebagai sebuah parti yang ditubuhkan demi kepentingan orang Melayu, pemimpin Umno terutamanya golongan muda perlu mempunyai perancangan untuk masa hadapan.

Katanya ini kerana kedudukan generasi masa depan adalah bergantung kepada pemimpin masa kini dan jika pemimpin terbabit gagal, maka yang menerima akibatnya ialah generasi akan datang.

"Jika kita kalah dalam perjuangan kita sekarang ini, anak cucu kita yang akan menjadi mangsa... sanggupkah kita menggadai nasib anak bangsa kita sendiri.

"Sebab itulah Pemuda perlu sentiasa berjuang dengan ikhlas, bersatu hati, tidak tuduh antara satu sama lain, bagi memastikan Umno sentiasa dapat berjuang demi kepentingan anak bangsa Melayu," katanya.