Ops Deepavali: JPJ keluarkan 597 saman, sita 3 motosikal
Sebanyak 597 saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atas pelbagai kesalahan, dalam operasi bersepadu sempena Deepavali malam tadi.
Pengarah Penguatkuasa JPJ Datuk V. Valluvan Veloo berkata daripada 820 kenderaan yang diperiksa, 187 saman dikeluarkan kepada penunggang motosikal dan 410 kepada kenderaan lain.
"Antara kesalahan mereka ialah tidak memiliki lesen memandu yang sah, tidak mempunyai lesen kenderaan, nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi dan pengubahsuaian motosikal.
"Dalam operasi ini, tiga motosikal turut disita manakala seorang penunggang motosikal ditahan kerana didapati positif dadah jenis ganja," katanya kepada pemberita selepas berakhirnya operasi itu di Plaza Tol Sungai Besi.
Operasi bersama agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Agensi Antidadah Kebangsaan dan Jabatan Alam Sekitar itu bermula 8.30 malam dan dijalankan serentak di dua lokasi iaitu Plaza Tol Sungai Besi dan Plaza Tol Mines, Besraya.
Sementara itu, Valluvan berkata sebanyak 1,288 kenderaan disaman di seluruh negara setakat semalam menerusi 'Ops Puncak' atas kesalahan menggunakan lorong kecemasan dan memotong barisan.
Menurutnya, operasi bermula pada 24 Okt lalu mendapati kebanyakan kenderaan melakukan kesalahan tersebut ketika waktu puncak antara pukul 7 pagi hingga 9 pagi serta 5 petang hingga 7 malam.
"Operasi ini dilaksanakan di kawasan sesak di seluruh negara untuk memantau dan terus menyaman sebilangan mereka yang masih lagi menggunakan lorong kecemasan bagi tujuan yang tidak sepatutnya.
Katanya, JPJ telah mengambil tindakan serius terhadap kesalahan tersebut dan mahu mereka yang melakukan kesalahan dibawa terus ke mahkamah.
"Sempena musim perayaan ini, saya nasihatkan pengguna jalan raya supaya mengikut peraturan dan tidak menyalahgunakan lorong kecemasan untuk kepentingan sendiri," katanya.
- Bernama

