Ketua Ahli-ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang hari ini menggesa negeri-negeri dalam Malaysia Timur agar memberikan teladan dalam menentukan nasib Persekutuan Malaysia.

Lim berkata, ini berikutan pelbagai isu yang melanda negara ini dengan diibaratkan seperti "katak hidup yang sedang direbus perlahan-lahan".

"Oleh itu, saya keluarkan panggilan 'SOS' bagi memulakan kempen Sabah dan Sarawak untuk selamatkan Malaysia daripada cengkaman kleptokrasi, rasuah dan (menggalakkan) pemusatan kuasa.

"Sabah dan Sarawak harus mengepalai usaha ini untuk diikuti oleh seluruh Malaysia dan tidak bertindak mengasingkan diri daripada seluruh Malaysia," kata beliau dalam kenyataan, hari ini.

Pertama, Lim berkata, Persekutuan memerlukan kepimpinan Malaysia Timur untuk menentang sebarang usaha meluluskan undang-undang yang boleh memudaratkan keharmonian sosial pelbagai kaum.

"Ini termasuk membuat pendirian tegas terhadap rang undang-undang (RUU) persendirian yang sedang dikemukakan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang," ujarnya.

Kerajaan negeri Sarawak yang diterajui PBB telah memberi petunjuk untuk mengarahkan semua anggota Parlimen parti itu mengundi menentang usul Hadi.

Tambah Lim, Sabah dan Sarawak juga diperlukan untuk membuat pendirian terhadap rasuah yang menyebabkan kos pembangunan infrastruktur di kedua-dua negeri melambung berbilion-bilion ringgit.

[Baca berita penuh]