Air juga berkait isu keselamatan negara
Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Pejabat Peguam Negara perlu menganggap pencemaran air sungai sebagai isu berkaitan pertahanan negara.
Justeru mereka sepatutnya berusaha menyiasat serta mendakwa pihak yang menencemarkan air di Sungai Buah dan Sungai Semenyih di mahkamah.
Pencemaran yang berlaku secara berterusan ini nampaknya berlaku pada kadar sesekali namun berkekalan melalui cara dan bahan cemar yang sama. Ia berlaku di luar Selangor.
Ujian sampel air awal oleh kerajaan Selangor mendapati bahan yang dikenalpasti mencemar kandungan air di kedua-dua sungai itu ialah “4-bromo difenil ether” (4-Bromo Diphenyl Ether).
Hanya selepas langkah ini diambil kerajaan boleh menggunakan cara rawatan yang betul untuk membersihkan bahan kimia daripada air sungai terbabit.
Kerajaan boleh juga menyiasat dengan lebih terperinci kerana hanya sesetengah pengimport dan pengusaha industri sahaja yang menggunakan bahan-bahan kimia tertentu.
Terdapat orang politik daripada BN dan Umno yang cuba menyebar berita mengelirukan kononnya semua ini berlaku apabila kerajaan Selangor mula mengambil alih beberapa syarikat bekalan air di negeri itu.
Ini ialah berita yang terpesong daripada fakta dan tidak benar kerana:
- Punca gangguan bekalan air di Sungai Semenyih adalah disebabkan pencemaran air oleh bahan pencemar yang jarang dijumpai sebelum ini. Sememangnya pencemaran air tiada kaitan dengan isu-isu bekalan air seperti kagagalan loji rawatan air, pecahan paip atau musim kemarau.
- Penstrukturan semula air di Selangor masih belum selesai sepenuhnya kerana rundingan masih diteruskan berkenaan dengan pengambilalihan syarikat Splash oleh kerajaan Selangor
- Kerajaan Selangor baru mengambil alih pentadbiran dan pengurusan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) yang kemudiannya bertukar nama menjadi Air Selangor hanya enam bulan yang lepas.
- Sememangnya isu pencemaran air yang begitu kerap ini perlu dilihat sebagai tindakan sabotaj. Lebih teruk lagi, ianya berlaku di sebuah kawasan yang terletak di luar negeri Selangor.
Dalam pencemaran kali pertama yang berlaku di Sungai Semenyih pada akhir September, Lembaga Urus Air Selangor dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesan lokasi pencemaran di tapak tidak berlesen di Batu 22 1/4 Sungai Lalang, Semenyih seawal jam jam 1 pagi pada 4 Oktober tetapi JAS tiba di lokasi selepas lebih 10 jam kejadian pencemaran dikesan.
Maka dengan itu, keberkesanan dan kecekapan agensi-agensi kerajaan persekutuan untuk menyiasat dan menangkap mereka yang bertanggungjawab adalah sangat penting untuk memastikan orang yang dituduh itu disabit bersalah.
Ini adalah kerana ianya amat bergantung kepada kekuatan bukti yang dapat dikumpul oleh pihak pendakwa raya, PDRM dan JAS.
Dalam kes Pendakwa Raya lwn NCK Aluminium Extrusion Sdn Bhd, Mahkamah Tinggi memutuskan dalam kes rayuan pendakwa raya bahawa walaupun pesalah atau responden telah mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk memperbetulkan pencemaran air sungai yang disebabkannya dan tahap pencemaran yang disebabkan adalah kesalahan pertama dan adalah agak minumum, mahkamah tinggi tetap mengenakan hukuman yang maksimum setelah mengambil kira kesannya kepada alam sekitar dan pengguna.
Ini adalah kerana pesalah terus mengingkari arahan di bawah Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekitar sehingga tindakan penguatkuasaan.
Fakta kes ini menunjukkan pegawai JAS perlu menjalankan pemeriksaan ke atas premis pihak yang berkenaan dengan mengambil lima botol contoh buangan cecair yang dilepaskan ke dalam perairan daratan pada takat pelepasan terakhir.
Setelah contoh-contoh itu ditandakan, ia perlu diserahkan kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk analisis sebelum dibentang sebagai bahan bukti di mahkamah.
Sekiranya bahan bukti ini tidak dapat dikumpulkan pada masa yang awal, maka adalah sukar untuk menyabit pihak tertuduh sebagai bersalah di sisi undang-undang.
Kerajaan Selangor melalui Air Selangor dan LUAS telah membuat laporan polis seawal 24 Oktober. Namun demikian, saya difahamkan bahawa pegawai yang membuat laporan polis masih belum dipanggil untuk merekod keterangan mereka sehingga Khamis lalu.
Sememangya saya berharap kenyataan saya ini tidak tepat tetapi seharusnya PDRM harus memanggil mereka yang membuat laporan polis untuk memberi keterangan selanjutnya secepat mungkin supaya siasatan selanjutnya dapat dijalankan dengan cepat.
Bukan sahaja JAS dan PDRM tidak boleh lagi bekerja dalam silo malahan mereka perlu mengakui bahawa perlindungan sumber air mentah di Malaysia penting dari segi strategi pertahanan negara.
LAU WENG SAN adalah ahli dewan undangan negeri untuk Kampung Tunku, Selangor

