Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dua mati lemas manakala 11 lagi ditemui selamat selepas sebuah bot yang membawa penumpang dari Tanjung Dawai ke Pantai Merdeka, Kuala Muda di Sungai Petani, Kedah terbalik.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Nur Hafizah Mohammad Lokman berkata dalam kejadian pukul 10.38 pagi itu, bot yang membawa 12 penumpang serta seorang tekong itu dipercayai terbalik selepas terlanggar tali sauh sebuah bot pukat tunda.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada 10.38 pagi dan tiba di lokasi 30 minit kemudian.

"Bot yang membawa penumpang tempatan itu terbalik selepas melanggar tali sauh bot pukat tunda. Mayat seorang lelaki dan perempuan masing-masing berumur 19 dan 34 tahun telah diserahkan kepada polis," katanya.

Nur Hafizah berkata semua penumpang diselamatkan oleh bot penumpang lain yang berada di kawasan kejadian.

Dua daripada mereka dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, empat orang dibawa ke Pantai Merdeka manakala lima lagi ke Tanjung Dawai.

Sementara itu dua pelancong tempatan yang ditemui lemas dalam tragedi bot terbalik di Tanjung Dawai pagi tadi telah dikenal pasti, kata Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Md Zukir Md Isa.

Beliau berkata kedua-dua mangsa dikenali sebagai Yap Wai Shiang, 19, dari Bandar Seri Damansara dan Peek Lai Yee, 34, dari Desa Jaya, Kepong, Kuala Lumpur.

"Siasatan awal mendapati, semasa berada dalam separuh perjalanan iaitu kira-kira satu kilometer ke dataran Pantai Merdeka, kipas bot terlanggar dan terbelit pada tali sauh sebuah bot pukat tunda yang merintangi laluan.

"Sembilan mangsa berjaya diselamatkan oleh tekong bot dan bot lain yang berada berhampiran lokasi dan dibawa ke Jeti Tanjung Dawai dan Jeti Pantai Merdeka," katanya kepada pemberita.

Md Zukir berkata kedua-dua mangsa yang lemas disahkan meninggal dunia selepas tiba di jeti Pantai Merdeka dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim.

"Mayat mangsa yang maut juga dihantar ke hospital sama untuk bedah siasat dan hasil siasatan juga mendapati kesemua mereka memakai jaket keselamatan semasa kejadian.

"Kes disiasat sebagai mati mengejut," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS