Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Orang asli di HSK Balah dakwa sukar dapat bekalan makanan
Diterbitkan:  Oct 30, 2016 5:58 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

Penduduk Orang Asli di sekitar Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah, di Gua Musang mendakwa mereka sukar mendapatkan keperluan harian
berikutan larangan orang luar memasuki HSK tanpa permit oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK).

Selain itu, mereka mendakwa sukar untuk menjual hasil tanaman seperti
pisang dan getah selepas penguatkuasaan larangan berkenaan sejak dua minggu lepas.

Wakil penduduk, Mustafa Along, 29, berkata masalah bermula setelah JPNK membuat pemeriksaan terhadap setiap individu yang ingin masuk ke kawasan itu.

"Ia menyukarkan kami untuk mendapatkan bekalan makanan kerana sebelum ini, sekurang-kurangnya tiga kali seminggu akan ada peruncit (peniaga) yang datang untuk menjual barangan keperluan harian," katanya kepada pemberita di sekatan pembalakan Orang Asli di Kampung Petei, Pos Bering di Gua Musang.

Mustafa berkata penduduk terpaksa mencatu bekalan makanan kerana tidak ramai daripada mereka yang mempunyai motosikal untuk keluar dari kawasan itu bagi membeli keperluan harian.

"Nak keluar ke bandar Gua Musang juga jauh, sekurang-kurangnya tiga jam menunggang motosikal. Itupun jika cuaca baik, jika hari hujan pula, kami perlu ambil masa lima jam. Kami tak mempunyai kenderaan pacuan empat roda untuk keluar beli bekalan harian dan terpaksa bergantung kepada motosikal. Tak banyak yang boleh dibeli jika guna motosikal," katanya.

Justeru, Mustafa berharap JPNK memberi kelonggaran kepada peniaga yang ingin memasuki HSK Balah bagi memudahkan seramai 787 penduduk mendapat bekalan makanan.

Pada 3 Oktober lepas, Kerajaan Negeri Kelantan mengeluarkan arahan menangguhkan aktiviti pembalakan HSK Balah selepas lebih 200 penduduk Orang Asli membuat sekatan menghalang laluan keluar masuk lori balak di Kampung Petei sejak 26 September lepas.

Kumpulan berkenaan menggesa semua aktiviti pembalakan di HSK Balah berhampiran kawasan penempatan mereka dihentikan kerana mereka mendakwa aktiviti itu merosakkan alam sekitar dan kepupusan hutan hingga menjejaskan mata pencarian mereka.

Sebelum ini, Pengarah JPNK Zahari Ibrahim dilaporkan berkata penduduk Orang Asli yang tinggal di kawasan itu bebas untuk memasuki kawasan HSK Balah bagi menghormati mereka sebagai orang asal di situ tetapi individu lain wajib memohon permit untuk masuk ke HSK itu.-Bernama

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS