Setiap pemimpin negara - sama ada masih masih berkhidmat dalam kerajaan mahu pun bersara - masih terikat dengan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keadaan itu berlaku kerana mereka telah bersumpah untuk menyimpan rahsia kerajaan.

"Walaupun anggota parlimen mempunyai kekebalan, OSA menyebut sumpah menyimpan rahsia masih mengikat individu termasuk) yang menjadi mantan anggota pentadbiran yang (mendedahkan) rahsia kerajaan," kata Zahid kepada pemberita.

Zahid berkata demikian ketika hadir majlis pelancaran buku Being Abdullah Ahmad Badawi - The Authorised Biograpy di Kuala Lumpur hari ini.

Oleh itu, Ahmad Zahid mengingatkan semua kepimpinan agar mengakui perkara tersebut sekali gus menjadi ingatan buat mereka.

"Ini harus diakui dan menjadi ingatan pada semua," kata Zahid.

Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dilaporkan berkata polis akan mengambil keterangan tiga bekas menteri yang didakwa mendedahkan rahsia kerajaan, dalam masa terdekat.

Siasatan itu dibuat mengikut Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 kerana mendedahkan rahsia kerajaan, termasuk berkaitan 1MDB, susulan laporan polis dibuat dua pertubuhan bukan kerajaan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan Kelab N87 Wilayah Persekutuan.

Bekas timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas menteri pembangunan luar bandar dan wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah didakwa membocorkan rahsia kerajaan, ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat.

Mengulas lanjut, Zahid yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan menyerahkan kepada polis untuk membuka kertas siasatan untuk menyiasat tiga bekas menteri itu.

"Jika didapati ucapan benar-benar mempunyai pelanggaran OSA, maka polis akan serahkan siasatan kepada peguam negara untuk membawa pertuduhan ke mahkamah," katanya.

Bagaimanapun Zahid berkata masih terlalu awal untuknya mengulas lanjut isu itu.

"Kita serahkan kepada polis dan peguam negara untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Dalam pada itu, Zahid turut mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak BERSIH dibiayai dana asing.

"Kita tak boleh kata apa pun sehingga pembuktian diperolehi," tegasnya.

"Kita tak boleh kata apa pun sehingga pembuktian diperoleh.

"Soalnya bukan "siapa" dibiayai dan "kenapa". Apa yang harus ditanya ialah penglibatan pihak luar terhadap politik negara.

"Ini kerana politik Malaysia mengikut acuan yang sesuai dengan politik negara kita. Tidak perlulah, jika benar melibatkan pihak luar apatah lagi pembiayaan aktiviti politik sama ada menentang atau menyokong mana-mana organisasi atau individu," kata Zahid.

Ditanya mengenai gesaan beberapa pemimpin tempatan supaya siasatan dijalankan ke atas organisasi yang terlibat, Ahmad Zahid berkata ia akan dilakukan sekiranya terdapat laporan polis.

"Biar laporan polis dilakukan. Kita juga akan lakukan tindakan sebagaimana saranan itu. Kita tidak tertakluk pada sebarang spekulasi atau saranan," kata Ahmad Zahid.