Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Malaysia akan mendapatkan idea mengenai pembangunan ekonomi digital daripada taikun internet China, Jack Ma, kata Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Beliau berkata pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pengasas dan pengerusi eksekutif Kumpulan Alibaba itu antara lain untuk membincangkan mengenai perkara tersebut.

"Kita akan bincang dengan dia untuk membawa ideanya (ke Malaysia), dan ada juga ura untuk melantiknya dalam anggota majlis digital," katanya kepada media Malaysia selepas menyambut ketibaan Najib di Beijing pada Isnin untuk lawatan rasmi enam hari ke China.

Irwan berkata ekonomi digital ialah sesuatu yang boleh dipelajari Malaysia dan bekerjasama dengan China. Ia merupakan satu trend bukan hanya sekarang tetapi untuk 10 ke 20 tahun akan datang.

"Kerjasama itu akan memberi lebih manfaat kepada Malaysia, bukan hanya dalam konteks pembangunan modal insan tetapi kemajuan ekonomi," katanya.

Dalam Bajet 2017, sejumlah RM162 juta telah diperuntukkan kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk program seperti ekosistem e-dagang dan Digital Maker Movement, serta pengenalan kategori lokasi baharu yang dipanggil Hab Digital Malaysia.

Ekonomi digital Malaysia setakat ini menyumbangkan 16.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan dijangka menyumbang hampir 20 peratus kepada KDNK menjelang 2020.

- Bernama

Lihat Komen
ADS