Sampai bila OA sekat pembalak? Sampai bila-bila...
LAPORAN KHAS Pada September lalu, laluan ke kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) Balah, Gua Musang mendapat perhatian selepas Orang Asli (oa) dari suku kaum Temiar membuat halangan di kawasan itu.
Tindakan yang dibuat oleh masyarakat Orang Asli di kawasan berkenaan bertujuan untuk menghalang kayu balak dikeluarkan dari kawasan Pos Tohoi.
Ekoran halangan yang dibuat, kemudian tercetus kekecohan antara pekerja syarikat yang diberi lesen menebang pokok dan Orang Asli sehingga pembalak bertindak merobohkan sekatan yang dibuat.
Sebulan berlalu, halangan di Pos Tohoi masih kukuh berdiri. Malah, kawasan yang dulunya didiami beberapa masyarakat Orang Asli kini bertukar menjadi sebuah perkampungan kecil.
Kawasan yang dulunya hanya mempunyai beberapa buah pondok kecil kini berkembang dengan adanya kira-kira belasan pondok untuk Orang Asli dari pelbagai kampung di sekitar Pos Tohoi, menginap untuk mereka bergilir-gilir menjaga halangan yang dibuat.
Pondok pengawal serta kayu penghadang yang dicat dengan warna merah putih turut diletakkan bagi mengelakkan kenderaan memasuki kawasan tersebut sesuka hati.
Sesiapa yang ingin memasuki Pos berkenaan - di Simpang Kampung Petei - dikehendaki untuk menghentikan kenderaan serta menulis nama di buku yang disediakan untuk tujuan rekod.
Ketika Malaysiakini berkunjung ke 'perkampungan halangan' itu dua minggu lalu, rata-rata penduduk Orang Asli dengan rela hati berkawal dan berkampung di kawasan tersebut semata-mata untuk memastikan tanah adat mereka tidak dicemari pembalak.
Terdapat juga pondok-pondok kecil yang dibuat menggunakan buluh dan beratapkan daun nipah berada di kiri dan kanan laluan berkenaan.
Bagi Mustafa Along - antara individu yang mengetuai Orang Asli di kawasan itu - berkata mereka akan terus membuat halangan sampai bila-bila demi menjaga hutan yang selama ini menjadi nadi bagi Orang Asli.
Halangan itu juga, menurut Mustafa bertujuan menggesa kerajaan Kelantan turun padang berunding dengan Orang Asli serta mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan masalah yang melanda masyarakat itu. Antaranya ialah isu tanah.
"Mereka suruh kita ke Gua Musang untuk berbincang. Tapi kita mahu mereka (kerajaan negeri) yang datang sini dan berunding dengan kami semua, bukan dengan satu dua orang sahaja," kata Mustafa yang juga setiausaha Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK).
Ekoran halangan yang dibuat Orang Asli, pada 13 Oktober lalu Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) pula mengadakan sekatan.
Jarak antara sekatan kakitangan JPNK dengan halangan Orang Asli itu hanya dipisahkan jarak hanya kira-kira lima kilometer.
Menurut laporan, sekatan yang dilakukan JPNK itu untuk menghalang individu atau pihak luar yang ingin memasuki hutan simpan tanpa permit mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).
Kini, sesiapa yang ingin memasuki kawasan hutan simpan berkenaan perlu mendapatkan permit di jabatan perhutanan daerah atau negeri.
Disebabkan tindakan itu, Orang Asli turut mendakwa mereka sukar mendapatkan bekalan makanan dan keperluan harian.
Sehubungan itu, menurut Pengerusi JKOAK, Azmi Badul, pihaknya kini dalam perancangan untuk menambah lagi halangan iaitu di Pos Bihai dan Pos Pasik.
Menurutnya, kedua-dua kawasan itu merupakan antara lokasi terjejas teruk akibat pembalakan.
"Pos Pasik kita akan buat pada awal November. Kalau pembalak nekad juga nak masuk, kita akan buat halangan. Pembalak kata dia akan buat kerja di Pasik dan beritahu jika Orang Asli buat (halangan), dia (pembalak) akan teruskan dengan cara dia," katanya kepada Malaysiakini.
"Di Pos Tohoi Orang Asli semakin bertambah dan kami tetap teruskan halangan ini sampai bila-bila dan sehingga kerajaan ada perbincangan serta dapat titik penyelesaian dengan kami," ujar Azmi lagi.
Azmi berkata, kini terdapat kira-kira 200 Orang Asli dari 40 buah kampung yang datang ke 'perkampungan' berkenaan untuk bersama-sama mempertahankan hak Orang Asli Kelantan.
"Kita semua bergilir-gilir di sini," kata Azmi yang turut memberitahu, selain menjaga halangan mereka turut membuat kraftangan sebagai aktiviti sampingan.
Siri 1: Bagaimana pembalakan perkosa hutan Orang Asli di Kelantan

