BERSIH Sabah tukar tempat berhimpun 19 Nov
BERSIH Sabah akan mengadakan perhimpunan pada 19 November ini di Taman Ujana Rimba Tropika, Kota Kinabalu dan bukannya Padang Merdeka, lapor New Straits Times.
Penukaran tempat berhimpuan itu dilakukan ekoran keengganan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu untuk membenarkan kawasan asal digunakan.
Lokasi baru tersebut yang merupakan taman awam adalah sesuai dan para peserta perhimpunan tidak melanggar sebarang undang-undang atau mengganggu aliran trafik, seorang jurucakap BERSIH Sabah dipetik sebagai berkata dalam kenyataan hari ini.
"Semua para peserta dinasihatkan untuk mengelakkan daripada meletakkan kereta di sekitar taman itu kerana pihak polis akan menggunakan ruang berkenaan untuk menempatkan kakitangan dan aset mereka pada hari tersebut.
"BERSIH Sabah juga akan mengeluarkan notis untuk memaklumkan Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Chandra Muthu seperti yang dikehendaki dalam Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012," kata jurucakap tersebut lagi.

