Anwar dapat semakan kehakiman cabar larangan sentuhan fizikal
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan semakan kehakiman sepenuhnya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memohon supaya beliau dibenarkan hubungan fizikal ketika berjumpa dengan ahli keluarga dan cucunya di penjara.
Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamed berkata kebiasaannya beliau akan mengambil masa sebelum membuat keputusan tetapi selepas mendengar permohonan itu mendapati bahawa ia bukan sesuatu yang remeh dan menyusahkan.
"Saya benarkan semakan kehakiman penuh didengar dalam tempoh dua minggu," katanya.
Hakim Nik Hasmat kemudian menetapkan 17 November ini untuk pengurusan kes.
Anwar ketika disoal hakim mengapa beliau membuat permohonan itu, berkata dirinya hanya dibenarkan hubungan fizikal yang terhad.
"Saya tidak melakukan ini untuk diri sendiri tetapi juga untuk banduan lain," katanya.
Peguam Anwar, N Surendran berkata, kes ini adalah bersejarah kerana ia adalah kali pertama permohonan dibuat bagi tahanan dibenarkan untuk hubungan fizikal.
Selain Anwar, turut bertindak selaku pemohon ialah isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, empat anak perempuan mereka iaitu Nurul Izzah, Nurul Nuha, Nurul Ilham dan Nurul Iman serta empat cucu.
Mereka menamakan Pengarah Penjara Sungai Buloh, Komisioner Jeneral Penjara dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden.
Semua pemohon mendakwa Jabatan Penjara menafikan sentuhan fizikal antara Anwar dan ahli keluarganya yang dipisahkan melalui dinding kaca serta percakapan antara mereka hanya melalui telefon ketika lawatan tiga minggu sekali.
Anwar melalui surat peguamnya bertarikh 2 Mac 2016 memohon pihak penjara membenarkan sentuhan fizikal ketika lawatan, tetapi permintaan itu ditolak melalui surat bertarikh 14 Mac 2016.

