Di sebalik tindakan sesetengah pihak membidas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana membawa keluarganya bersama pada lawatan rasmi ke China, minggu ini, beberapa pakar diplomasi dan hubungan antarabangsa percaya tindakan itu bukan sesuatu yang luar biasa.

"Dengan Najib, standard (amalan) China adalah mempelawa keluarganya, juga," kata Oh Ei Sun, felo kanan di S Rajaratnam School of International Studies di Singapura.

Dan ini, kata Oh, menjadi amalan sejak lawatan pertama Najib ke China. Ini adalah lawatan rasmi ketiga Najib ke negara itu sejak 2009.

Antara sebab undangan khas diberikan kepada Najib dan keluarganya adalah kerana China memandang tinggi terhadap perdana menteri kedua negara - Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Abdul Razak, kata Oh, mengambil langkah berani untuk merintis hubungan rasmi dengan China semasa Perang Dingin dan malah Malaysia adalah negara Asean pertama yang melakukannya.

"Jadi, semasa sebahagian besar lawatan rasmi Najib di sana, mereka menjemput keluarganya untuk datang bersama.

"Ada sekali mereka menghadiahkan (balu Razak) Tun Rahah (Noah) gambar Razak dan (pemimpin pengasas China) Mao (Zedong) di Great Hall of the People," kata Oh.

Oh berkata, selain sumbangan Razak, hubungan persahabatan berterusan dan jalinan muhibah yang dihulurkan oleh Najib kepada China adalah juga faktor jemputan khas itu.

Ngeow Chow Bing dari Institut Pengajian China, Universiti Malaya masih ingat bagaimana Presiden Amerika Syarikat Bill Clinton membawa anak perempuannya, Chelsea bersama dalam lawatannya ke China.

"Ia bukan sesuatu yang luar biasa bagi seisi keluarga melawat China dalam rangka lawatan rasmi," katanya.

[Baca berita penuh]