Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia digelar "zalim" oleh Lim Kit Siang (DAP - Gelang Patah) selepas beliau menghalau seorang wakil pembangkang hari ini.

Steven Sim (DAP-Bukit Mertajam) diarah Pandikar meninggalkan dewan itu selepas enggan duduk, sebaliknya membantah keputusan dibuat Pandikar berhubung usul membawa Datuk Seri Najib Razak (BN-Pekan) ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Sim sebelum itu mendakwa Najib mengelirukan Dewan Rakyat dalam pembentangan belanjawannya namun Pandikar memutuskan tidak wujud prima facie bagi membuktikan kenyataan anggota parlimen Bukit Mertajam itu.

Bercakap dalam nada lembut Sim sebaliknya tidak bersetuju namun Pandikar memberitahu sesuatu keputusan speaker hanya boleh disemak semula melalui usul mengikut Peraturan Mesyuarat 43.

Selepas diarahkan berkali-kali supaya duduk Sim enggan. Pandikar kemudian mengarahkan bentara Dewan Rakyat untuk mengiringi Sim meninggalkan dewan berkenaan.

Menjelaskan keputusannya Pandikar berkata beliau hanya menjalankan tugas mentafsir peraturan parlimen.

"Apa faedah yang Bukit Mertajam dapat (kerana mengingkari arahan speaker) selain daripada publisiti?

"Rakyat tidak lihat apa yang berlaku di sini. Apa yang mereka nampak ialah speaker zalim sebab menghalau ahli parlimen pembangkang," katanya.

Menurut Pandikar beliau juga akan mengambil langkah sama ke atas wakil BN jika turut mencetuskan masalah di dalam dewan.

Bagaimanapun kata Pandikar wakil BN mendengar dan mematuhi perintahnya jika disuruh duduk.

Sementara itu Lim yang juga pemimpin veteran DAP mempertikaikan pandangan Pandikar yang mahu tindakan diambil mengikut Peraturan Mesyuarat 43.

Kata Lim usul yang dibuat mengikut peraturan itu biasanya tidak akan dibahaskan.

Apabila ditanya mengapa Lim tidak bertanya soalan berkenaan kepada speaker terdahulu, jawapan diberikannya menimbulkan kemarahan Pandikar.

"Speaker dulu tidak begitu zalim," kata Lim.

Pandikar kemudian mengarahkan Lim menarik balik kenyataan berkenaan - dan dilakukannya - namun meminta speaker terbabit tidak bertanya soalan yang "tidak boleh dijawab".

[Baca berita penuh]